KEMUNCULAN semula pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim pada aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa, nyata dimanfaatkan sepenuhnya tonggak Selangor FC itu bagi melakar kemenangan 2-0 ke atas lawan.
Malah, pemain yang mesra disapa Mickey itu mengakui gembira apabila dipilih untuk dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada rakyat Malaysia, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Coach Peter Cklamovski, dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Mahkota Ismail) yang terus memberikan sokongan kepada saya.
"Hampir setahun saya tak pakai jersi kebangsaan... memang agak lain, tak macam sebelum ini sebagai pemain tetap. Mickey kena banyak bekerja keras mencari rentak yang terbaik.
"Sejujurnya, banyak lagi perlu diperbaiki, tapi ini permulaan terbaik. Tahun baharu untuk saya bangkit semula,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, Mickey turut mengakui prestasinya masih belum berada pada tahap terbaik.
Bagaimanapun, dia tetap bersemangat untuk menyahut cabaran Cklamovski pada perlawanan akan datang.
"Coach Peter jumpa saya seminggu sebelum senarai skuad diumumkan. Dia tanya, ‘Mickey, kalau saya pilih awak, awak 100 peratus bersedia?’ Saya jawab, ‘Ya, Coach.’ Ini masa untuk saya kembali bantu pasukan.
"Ini peluang terbesar selepas kejadian lalu, jadi saya guna ia sebaik mungkin untuk keluarga dan rakyat Malaysia," katanya.