PENGARAH Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw menegaskan bahawa pemansuhan Piala MFL musim depan bukanlah pengakhiran bagi pemain muda Liga Malaysia (Liga-M).
Sebaliknya, beliau menggesa mereka agar lebih berusaha meningkatkan kualiti permainan dan mencari peluang dalam Liga Super atau Liga A1 Semi Pro.
Menurutnya, pemain perlu bersikap lebih proaktif dan tidak hanya bergantung pada satu kejohanan semata-mata.
"Mereka perlu lebih kreatif mencari peluang dan tidak hanya menunggu. Jika perlu bermula di divisyen lebih rendah, ambil sahaja peluang itu,” katanya.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew pula melihat pemansuhan ini sebagai langkah positif jangka panjang, terutama dalam meringankan beban kewangan kelab.
"Keputusan ini dibuat kerana nilai komersial Piala MFL kurang memberangsangkan. Pemain bawah 23 tahun kini perlu lebih bersaing untuk mendapat tempat dalam Liga Super,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Sabri Abas menggalakkan kelab-kelab memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda, seperti yang telah dilakukan oleh Terengganu FC.
"Kami sentiasa mengetengahkan pemain muda ke skuad utama. Pemansuhan ini memberi ruang untuk mereka bersaing di liga lebih kompetitif,” jelasnya.
Walaupun Piala MFL dimansuhkan, pemain muda masih berpeluang membuktikan bakat mereka di peringkat lebih tinggi sekiranya mereka gigih berusaha dan bersaing secara kompetitif.