SELCAT lancar kaji selidik isu infrastruktur pelaburan di Selangor

Iklan
Weng San Weng San
Weng San

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Dewan Negeri Selangor menerima beberapa aduan berkaitan isu infrastruktur yang memberi kesan kepada pelaburan di negeri ini.

Bagi menyiasat isu tersebut secara mendalam, SELCAT mengambil inisiatif mengumpul maklumat melalui Borang Kaji Selidik yang boleh diakses di Portal Dewan Negeri Selangor.

Iklan
Iklan

Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti cabaran serta menganalisis isu infrastruktur yang dihadapi pelabur, pengilang dan pemegang taruh di Selangor.

Menurut Pengerusi SELCAT merangkap Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San, maklumat yang diperoleh akan dijadikan asas siasatan lanjut dan membantu kerajaan negeri merangka langkah berkesan bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur, khususnya dalam sektor pelaburan.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa borang kaji selidik ini bukan platform untuk membuat aduan tetapi hanya bagi mengumpul maklumat tambahan.

"Setiap maklum balas akan diteliti, dan pihak urus setia Dewan Negeri Selangor akan menghubungi responden sekiranya diperlukan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut," ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

SELCAT mengalu-alukan penyertaan semua pihak berkepentingan dalam industri pelaburan dan infrastruktur Selangor.

Mereka yang ingin mengambil bahagian boleh mengisi borang kaji selidik melalui pautan berikut: https://forms.gle/591qfD5VJxVvAHjU7.

Jawatankuasa ini diketuai oleh Weng San selaku Pengerusi merangkap Speaker Dewan Negeri Selangor, bersama enam ahli jawatankuasa lain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Anggota jawatankuasa ini termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Hulu Kelang), Yew Jia Haur (Teratai), Datuk Johan Abd Aziz (Dusun Tua), Dr. Afif Bahardin (Taman Medan), Mariam Abdul Rashid (Meru) dan Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).

Orang ramai, khususnya pelabur dan pengilang di Selangor, diseru menyertai kaji selidik ini agar pembangunan infrastruktur dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan ekonomi negeri.