SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengarahkan kawalan sempadan negeri diperketat bagi memastikan tiada lori membawa muatan sisa babi masuk ke negeri itu untuk tujuan pelupusan.
Aminuddin berkata, beliau menerima maklumat bahawa bangkai babi yang dibawa itu mengandungi virus, dan kerajaan negeri masih menyiasat dari negeri mana sisa tersebut dibawa masuk.
"Selepas kes (Kampung Baru Site A), kita menerima maklumat bahawa sebuah lori membawa muatan sama telah dikesan di sempadan negeri, dan lori tersebut telah diarahkan berpatah balik.
"Ia satu perkara baik, namun ada juga kes yang terlepas, tetapi tindakan segera telah diambil. Saya minta kawalan sempadan dipertingkatkan, dan isu ini diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib kerana ia telah sampai ke tahap yang membimbangkan penduduk," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Beliau mengingatkan pelaku supaya tidak menjadikan Negeri Sembilan sebagai tapak pembuangan sisa.
Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan akan meminta tindakan lebih tegas diambil bagi menangani isu tersebut.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri giat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan turapan jalan berlubang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada musim perayaan.
"Ini perkara yang merisaukan dan perlu diberikan perhatian. Saya sering nyatakan sebelum musim perayaan supaya pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) melihat dan menyelesaikan sebarang aduan berkaitan isu jalan yang membahayakan pengguna.
"Begitu juga aspek keselamatan kenderaan berat, dan pada masa yang sama, saya berharap pengguna di negeri ini berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan yang boleh membawa maut," katanya.
Ujarnya lagi, kerja di bawah peruntukan MARRIS telah dijalankan sejak awal tahun ini dan dijangka selesai sebelum Aidilfitri.