SHAH ALAM - Lebih 250 anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan serta menerima sumbangan duit raya menerusi Siri Jelajah Ramadan MK Land Holdings Berhad (MK Land) yang berlangsung sepanjang Ramadan ini di empat lokasi utama syarikat itu beroperasi.
Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat MK Land, Shahreen Rahim berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk menyemarakkan semangat kebersamaan dan memberi inspirasi kepada golongan memerlukan.
"Di MK Land, kami percaya bahawa setiap anak-anak ini mempunyai masa depan yang cerah jika mereka diberi dorongan dan keyakinan diri mencukupi.
"Siri jelajah ini juga bukan sekadar untuk menyantuni mereka tetapi membuka mata terhadap luasnya dunia luar di sana yang dipenuhi dengan pelbagai potensi untuk diterokai serta peluang tanpa batasan yang boleh dimanfaatkan bagi mencapai impian di masa depan.


"Kami mahu mereka percaya bahawa setiap daripada mereka berhak untuk berjaya sama seperti orang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelajah tersebut bermula di Damansara Perdana pada 13 Mac diikuti Ipoh pada 21 Mac seterusnya Bukit Merah pada 22 Mac dan berakhir di Langkawi pada 24 Mac.
Setiap lokasi program menyaksikan penganjuran majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan tahfiz daripada rumah anak yatim dan pusat tahfiz terpilih, diikuti dengan solat sunat tarawih berjemaah dan moreh selain turut menyerahkan sumbangan duit raya buat mereka sebagai tanda meraikan kemeriahan Syawal.
Sementara itu, Shahreen menambah, komitmen MK Land dalam aspek sosial selari dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat, di mana pihaknya akan terus berusaha membina komuniti yang lebih inklusif dan mampan.
"Sebagai sebuah organisasi bertanggungjawab, MK Land bukan sahaja membangunkan projek hartanah, tetapi berusaha mencipta nilai dalam kehidupan komuniti setempat di mana kami beroperasi.
"Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat membentuk masyarakat yang lebih prihatin di samping menyemai nilai-nilai kasih sayang dan saling membantu dalam diri generasi akan datang,” tambah beliau.