PEMAIN warisan, Hector Hevel, nyata gembira apabila debut sulungnya membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi sulung Kumpulan F bagi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Malah, beliau turut berazam untuk terus memberikan aksi terbaik demi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dilakar skuad kendalian Peter Cklamovski itu pada masa akan datang.
"Kami telah berjaya memberikan kemenangan kepada penyokong dan menghadiahkan mereka kegembiraan, dan ia sememangnya misi pasukan.
"Saya juga berbangga dapat menyarung jersi ini selain gembira melihat penyokong memberikan sokongan padu kepada pasukan," katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, pemain yang beraksi bersama skuad Portimonense SC dalam saingan Liga Portugal itu memanfaatkan pengalaman luasnya beraksi di sekitar Eropah menerusi hantaran serta teknik kawalan bola yang baik sepanjang perlawanan.
Malah, Hevel juga tidak menunggu lama untuk meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-30.
Pemain berusia 29 tahun itu turut dilihat bijak mengilhamkan serangan selain mencipta gandingan sempurna bersama rakan sepasukan seperti Endrick dos Santos, Nooa Laine dan Arif Aiman Hanapi.
Sementara itu, Hevel berkata beliau mahu mempertingkatkan lagi kualiti persembahannya bagi menghadapi aksi berikutnya.
"Saya mahu memperbaiki prestasi saya agar dapat memberikan yang lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.