SHAH ALAM - Cadangan pelantikan seorang Perdana Menteri daripada kalangan individu bukan beragama Islam dianggap kurang sesuai memandangkan agama berkenaan adalah agama rasmi Persekutuan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, terdapat rasional di sebalik pandangan tersebut, lebih-lebih lagi apabila banyak acara rasmi melibatkan elemen keagamaan termasuk peranan mengiringi Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam negara.
Bagaimanapun beliau menekankan, perkara itu bukan pendirian rasmi Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan kerana asas itu masih belum dibincangkan secara muktamad dalam kalangan kepimpinan parti.
"Saya lihat ada rasionalnya untuk melantik seorang beragama Islam sebagai perdana menteri kerana agama itu sendiri merupakan agama rasmi Persekutuan.
"Namun, itu bukan pandangan rasmi daripada PN atau saya pada hari ini secara keseluruhan kerana kami belum berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan. Cuma ramai pihak melontarkan idea dan bagi saya, ia perlu diraikan,” katanya.
Wan Saiful berkata demikian pada Wacana Sinar ke-475 Perdana Menteri dua penggal: Sekat diktator atau gimik politik yang bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Antara panelis lain yang terlibat ialah Setiausaha Politik Kanan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan MCA mendakwa cadangan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya jawatan Perdana Menteri hanya untuk orang Melayu-Islam dikhuatiri boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendakwa, ia juga menjejaskan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut berpandangan, tumpuan kerajaan seharusnya difokuskan kepada usaha untuk menerbitkan satu kertas putih yang menggariskan reformasi institusi secara menyeluruh.
"Bukan sekadar berbincang secara terpisah mengenai had penggal Perdana Menteri atau penandaan politik. Mengapa tidak kita gabungkan semua isi ini dalam satu kertas putih yang boleh dibentangkan di Parlimen dan dibahaskan oleh rakyat?
"Dengan adanya hala tuju dasar yang jelas, barulah kita boleh berbincang dengan lebih matang mengenai cadangan-cadangan yang dikemukakan,” katanya lagi.
Tambah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, walaupun isu had penggal Perdana Menteri ini masih di peringkat perbincangan, namun pelbagai idea baharu telah dikemukakan dan wajar dibahas dengan teliti.
"Secara prinsipnya, ini bukan soal salah guna kuasa atau pemusatan kuasa. Isu ini lebih kepada memberikan tempoh yang cukup untuk seseorang memimpin, seperti mana dalam sektor pekerjaan yang mempunyai had umur persaraan.
"Dalam dunia politik tiada had umur persaraan, jadi elok sekiranya had penggal ditetapkan bagi memastikan seseorang tidak memegang jawatan terlalu lama," katanya.
Wan Saiful menambah, langkah ini juga penting bagi memberi ruang kepada generasi baharu untuk mengambil alih kepimpinan negara kelak.