Had penggal PM: Tidak salah tetapkan had umur pemimpin dalam pindaan Perlembagaan

Iklan
Mohammad Tawfik Mohammad Tawfik
Mohammad Tawfik

SHAH ALAM - Penetapan had penggal Perdana Menteri wajar disertakan dengan pertimbangan untuk menetapkan had umur pemimpin dalam pindaan Perlembangan pada masa akan datang.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, cadangan itu dilihat sebagai satu usaha untuk memastikan kepimpinan negara terus segar dengan idea baharu yang selaras dengan aspirasi rakyat.

Iklan
Iklan

"Jika kita bercakap tentang mengehadkan tempoh 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri, mengapa tidak kita juga mempertimbangkan had umur pemimpin dalam pindaan Perlembagaan pada masa akan datang?

"Ini bagi memastikan ada semangat dan komitmen untuk meremajakan kerajaan, dasar serta polisi yang akan dilaksanakan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai panelis pada Wacana Sinar ke-475 Perdana Menteri dua penggal: Sekat diktator atau gimik politik di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Antara panelis lain yang terlibat ialah Setiausaha Politik Kanan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, cadangan penetapan had penggal Perdana Menteri juga perlu disertakan dengan pertimbangan terhadap pengalaman dan kriteria kepimpinan seseorang pemimpin.

Menurut beliau, sesiapa sahaja boleh menjadi seorang Perdana Menteri sekiranya mendapat sokongan majoriti namun aspek kelayakan serta keupayaan perlu diberi keutamaan.

"Dalam politik negara, sesiapa yang memiliki sokongan mencukupi boleh menjadi Perdana Menteri, saya sendiri pun boleh jika memenuhi syarat itu.

"Namun, persoalannya apakah ciri-ciri dan kriteria yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin tertinggi negara? Adakah individu itu benar-benar layak atau sekadar ‘rezeki terpijak’ yang tiba-tiba dinaikkan tanpa pengalaman mencukupi?" katanya.

Beliau menegaskan, pengalaman luas dan keupayaan mentadbir adalah elemen penting yang perlu dimiliki oleh seorang Perdana Menteri bagi menangani isu semasa serta memenuhi keperluan rakyat.

Menurutnya, kedua-dua blok utama politik, iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan mempunyai calon yang berpotensi namun calon tersebut akan muncul pada waktu yang sesuai.

"Generasi pelapis dalam politik tidak perlu dirisaukan, tetapi yang lebih penting adalah memastikan pemimpin yang bakal muncul benar-benar memiliki jiwa dan roh kepimpinan yang segar serta relevan dengan cabaran masa kini," katanya.