SHAH ALAM - Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak era Gerakan Reformasi 1999.
Setiausaha Politik Kanan Presiden PKR, Datuk Romli Ishak berkata, perkara berkenaan juga telah dibincangkan secara terperinci dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan menjadi perbincangan hangat dalam arena politik di Malaysia.
Menurutnya, tempoh 10 tahun bukan sahaja dianggap panjang bergantung kepada kepimpinan seseorang Perdana Menteri.
"Jika seorang Perdana Menteri membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, maka tempoh itu mungkin dirasakan terlalu singkat.
"Sebaliknya, jika pemimpin tersebut merosakkan negara, tempoh lima tahun pun bukan hanya dianggap panjang, malah sudah cukup untuk mencetuskan banyak masalah," katanya ketika menjadi panelis program Wacana Sinar ke-475 bertajuk Perdana Menteri Dua Penggal: Sekat Diktator atau Gimik Politik? di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Turut menjadi panelis dalam wacana itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Sementara itu, Romli berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bersetuju dengan cadangan menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun kerana ia telah dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Malah, katanya, amalan mengehadkan tempoh perkhidmatan berkenaan sudah dilaksanakan di peringkat negeri seperti Pulau Pinang untuk jawatan Ketua Menteri.
"Walaupun kita menghadkan tempoh 10 tahun untuk Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri, namun ia tidak akan menjejaskan kerjaya politik seseorang pemimpin.
"Jika seorang Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar itu berkebolehan, maka beliau masih boleh terus menyumbang kepada negara dalam pelbagai cara selepas tempoh 10 tahun tamat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin yang tidak berwibawa akan tetap menimbulkan masalah dalam tempoh yang singkat sekalipun.
Menurut Romli, dalam sejarah politik Malaysia, hanya Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri melebihi 10 tahun.
"Disebabkan itu, ramai pemimpin PH termasuk Anwar sendiri percaya tempoh 10 tahun adalah masa yang sesuai untuk seseorang Perdana Menteri merangka dasar, menyusun strategi dan melaksanakannya dengan berkesan," katanya.
Mengulas mengenai pengganti Anwar selepas tempoh pemerintahannya tamat, Romli berkata, sukar untuk meramalkan siapa bakal menjadi Perdana Menteri seterusnya namun PH mempunyai ramai calon sesuai.
"Kita memang sudah ada pelan transisi dan apabila tiba masanya, nama pemimpin terbabit akan diketengahkan," katanya.
Romli menegaskan, antara sebab utama perlunya had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri adalah untuk memberi ruang kepada kepimpinan muda yang lebih dinamik dan berdaya saing.
"Sistem politik Malaysia ketika ini cenderung memberi ruang yang terlalu luas kepada pemimpin untuk terus berkuasa tanpa had masa. Ini menyebabkan peluang kepada pemimpin baharu menjadi terhad.
"Kita dapat lihat ada Ahli Parlimen yang memegang jawatan sejak sekian lama tanpa sebarang hasrat untuk memberi laluan kepada pemimpin lain. Keadaan ini membantutkan usaha melahirkan pemimpin muda yang lebih progresif serta membawa idea baharu," katanya.
Cadangan had dua penggal Perdana Menteri terus diperdebatkan dalam kalangan pemimpin dan pemerhati politik, dengan ada yang melihatnya sebagai langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa, manakala yang lain menganggapnya sekadar gimik politik.