Tanah runtuh di Nabawan berisiko berulang – Pakar

Iklan
Menurut pakar kejadian tanah runtuh di Mukim Tatalan, Nabawan berisiko berulang akibat faktor geologi dan hujan lebat. Gambar kecil: Carolyn Melissa Menurut pakar kejadian tanah runtuh di Mukim Tatalan, Nabawan berisiko berulang akibat faktor geologi dan hujan lebat. Gambar kecil: Carolyn Melissa
Menurut pakar kejadian tanah runtuh di Mukim Tatalan, Nabawan berisiko berulang akibat faktor geologi dan hujan lebat. Gambar kecil: Carolyn Melissa

KOTA KINABALU – Kejadian tanah runtuh yang melanda beberapa kampung di bawah Mukim Tatalan, Nabawan baru-baru ini berisiko untuk berulang berikutan faktor geologi dan cuaca ekstrem di kawasan tersebut.

Pengarah Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Ts Dr Carolyn Melissa Payus berkata, keadaan geologi tanah yang tidak stabil serta hujan lebat berterusan akibat perubahan iklim menjadi punca utama kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Keadaan ini melemahkan permukaan sentuhan tanah, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh. Selain itu, tanah yang mengandungi kandungan tanah liat tinggi juga cenderung mengalami pergerakan gelongsoran yang besar," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Menurutnya, penyusupan air hujan ke dalam tanah boleh meningkatkan tekanan liang, mengurangkan daya serapan serta melemahkan kekuatan tanah, menyebabkan hakisan lebih teruk.

Iklan

"Apabila sesuatu kawasan sudah mengalami tanah runtuh, kebarangkalian untuk ia berlaku lagi adalah tinggi," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihaknya masih belum melakukan kajian lapangan di lokasi kejadian bagi mendapatkan analisis yang lebih terperinci.

Iklan

"Kami masih belum turun ke kawasan tanah runtuh untuk melakukan ‘post-mortem’, jadi sukar untuk memberikan analisis mendalam. Namun, secara umum, faktor yang saya sebutkan tadi adalah penyebab utama kejadian ini,” tambahnya.

Sebelum ini, lima kampung di Mukim Tatalan – Kampung Pangaraan, Kampung Binanun, Kampung Pohon Batu, Kampung Sumbiling, dan Kampung Tatalan Ulu – terputus hubungan selepas laluan utama musnah akibat tanah runtuh sejak Khamis lalu.

Situasi itu menyebabkan kira-kira 200 penduduk terputus bekalan makanan, manakala 15 guru terkandas di Kampung Binanon.

Pasukan keselamatan terpaksa menggerakkan misi bantuan kecemasan termasuk penghantaran bekalan makanan menggunakan helikopter bagi membantu penduduk yang terjejas.