PEMAIN perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang membuat penampilan semula selepas lebih setahun berdepan ujian sukar apabila akan menentang juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China bulan depan.
Ia adalah kemunculan yang dinanti-nantikan oleh pemain berusia 24 tahun itu selepas menjalani dua pembedahan akibat kecederaan belakang.
Tze Yong yang berkedudukan ke-18 dunia mendapat pelindung ranking sepanjang proses pemulihan sudah pasti tidak akan diberi laluan mudah oleh pemain nombor lima dunia pada kejohanan berstatus Super 1000 itu.
Malah Kunlavut juga berada pada prestasi terbaik dan menjadi antara pilihan untuk bergelar juara selain pemain China, Shi Yuqi serta Jonatan Christie dari Indonesia.
Malaysia juga akan diwakili pemain nombor 26 dunia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh berkedudukan ke-50 dunia.
Lawan Jun Hao juga tidak kurang hebat apabila dijadual menentang pemain nombor 11 dunia dari Taiwan, Lin Chun Yi pada pusingan pertama.
Jika menang, Jun Hao yang membuat penampilan pertama itu akan berdepan pula dengan cabaran Lu Guangzu dari China atau H. S. Prannoy dari India pada pusingan kedua.
Justin yang beraksi di peringkat kelayakan dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengatasi Jewel Angelo Albo dari Filipina dan Amirhossein Hasani dari Iran dalam Kumpulan A.
Kemenangan akan membolehkan Justin layak ke kejohanan sebenar dan mengatur pertemuan menentang pemain nombor 41 dunia dari Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin.
Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung di Ningbo bermula 8 hingga 13 April ini.