JURULATIH Brazil, Dorival Junior kini berada di ambang pemecatan selepas kekalahan teruk kepada Argentina.
Difahamkan, Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) kini sedang membincangkan masa depan pengendali berusia 62 tahun itu.
Kekalahan 4-1 Brazil kepada Argentina dalam kelayakan Piala Dunia 2026 pada Rabu telah mencetuskan reaksi kurang senang daripada Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues.
Menurut laporan ESPN, prestasi buruk di Buenos Aires telah mendorong Rodrigues untuk mempercepatkan pertemuan secara bersemuka dengan staf kejurulatihan.
Dalam laporan itu, dinyatakan bahawa Dorival belum diberitahu tentang sebarang keputusan mendesak mengenai masa depannya atau kemungkinan pemecatannya.
Susulan itu, beberapa nama sedang dipertimbangkan sebagai calon pengganti termasuk pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti yang sebelum ini menjadi sasaran Brazil untuk jawatan jurulatih.
Turut dikaitkan dengan CBF ialah Filipe Luis dari Flamengo dan Jorge Jesus yang kini melatih Al Hilal.
Dorival dilantik sebagai jurulatih pada Januari 2024, menggantikan Fernando Diniz selepas Brazil memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan prestasi hambar.
Namun, Dorival yang meninggalkan São Paulo untuk menyertai pasukan kebangsaan, masih bergelut untuk mengembalikan kegemilangan pasukan yang pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak lima kali itu.
Brazil tersingkir daripada Copa America musim panas lalu selepas tewas di peringkat suku akhir kepada Uruguay.
Selepas kekalahan besar kepada seteru tradisi mereka, Argentina, Brazil kini berada di kedudukan keempat dalam carta kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan.
Enam pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.
"Sentiasa ada tekanan besar, tetapi saya tidak pernah lari daripada tanggungjawab saya. Saya sedar betapa besarnya erti kekalahan ini dan segala yang telah berlaku.
"Saya benar-benar yakin dengan kerja saya dan proses pembangunan ini. Ia adalah satu proses yang rumit dan sukar, tetapi saya percaya kami akan menemui jalan penyelesaiannya,” kata Dorival selepas kekalahan kepada Argentina.
Beliau turut mengakui bahawa kekalahan kepada Argentina adalah kekalahan paling sukar dalam kariernya.
"Sepanjang bertahun-tahun saya berkecimpung dalam dunia bola sepak, ini mungkin detik paling sukar bagi saya. Namun, saya tidak pernah berputus asa,” katanya.