ARSENAL mencipta kebangkitan luar biasa untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Wanita selepas Alessia Russo menjaringkan dua gol membantu kelab London Utara menewaskan Real Madrid 3-0 di Stadium Emirates.
Dalam separuh masa kedua mendebarkan, The Gunners mempamerkan ketajaman mereka membalikkan defisit perlawanan pertama dan menang dengan agregat 3-2.
Russo meredakan kebimbangan penyokong apabila menyambut hantaran lintang Chloe Kelly dalam tempoh satu minit selepas sepak mula separuh masa kedua untuk Arsenal mendahului.
Bekas pemain tengah Barcelona, Mariona Caldentey menambah keceriaan tiga minit kemudian apabila menanduk masuk satu lagi hantaran berkualiti daripada Kelly, sebelum Russo menggandakan jaringannya pada minit ke-59 dengan penyudah jarak dekat.
Pemain antarabangsa England itu menyangka sudah melengkapkan hatrik pertamanya bersama Arsenal, namun dua jaringannya dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Dia juga berpeluang menjaringkan gol dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Real Madrid, Misa Rodriguez, tetapi gagal memanfaatkannya.
Bagaimanapun, ia tetap satu persembahan cemerlang daripada pasukan tuan rumah yang bermain penuh intensiti dan agresif, sekali gus layak sebagai pemenang.
Peluang terbaik Real Madrid hadir pada penghujung separuh masa pertama ketika kedudukan masih 0-0, namun penjaga gol Arsenal, Daphne Van Domselaar, melakukan aksi menyelamat penting untuk menafikan percubaan Filippa Angeldahl serta menyekat bola lantunan Linda Caicedo yang berada dalam kedudukan ofsaid.
Caicedo hampir menjaringkan gol pada masa tambahan di penghujung perlawanan, tetapi Van Domselaar sekali lagi berjaya menepis percubaannya.
Keputusan tersebut merupakan pencapaian terbesar Arsenal di bawah pengurus Renee Slegers setakat ini dan memastikan mereka masih berpeluang meraih trofi musim ini, walaupun tersingkir daripada Piala FA Wanita dan kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Super Wanita, Chelsea.
Arsenal akan berdepan Lyon di separuh akhir selepas juara Liga Juara-Juara Wanita lapan kali itu menewaskan Bayern Munich dengan agregat 6-1.