SEREMBAN - Cubaan sindiket untuk menyeludup barang larangan import iaitu tembakau kunyah dianggarkan bernilai hampir RM1 juta digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan.
Dalam pemeriksaan terhadap sebuah kontena dari India di Pelabuhan Barat, Klang di Selangor 1 Mac lalu, seorang lelaki tempatan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, pemeriksaan dibuat sepasukan anggota dari Unit Operasi Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan susulan risikan mendapati, sebuah kontena dari India disyaki membuat pengikraran dagangan tidak benar.
"Pada 1 Mac jam lebih kurang 11.45 pagi, bertindak atas maklumat, sebuah kontena di pelabuhan tersebut telah disita kerana disyaki membuat pengikraran tidak benar dalam dokumen manifest.
"Hasil pemeriksaan rapi dijalankan, pasukan menjumpai sejumlah 72 kotak atau 174.89 kilogram (kg) tembakau dan 318 kotak atau 2,862 kg pan masala tembakau kunyah, yang disyaki sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.


Menurutnya, tembakau kunyah tersebut dianggarkan bernilai RM581,786.42 dan melibatkan duti/cukai berjumlah RM 95,845.77.
Tambahnya, modus operandi sindiket ialah membuat pengikraran tidak benar terhadap dagangan dalam dokumen manifest yang memerlukan permit import.
"Tembakau kunyah merupakan barang larangan import yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran 66 Bahagian | Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Kesemua barang kes bersama kontena dengan jumlah sitaan termasuk duti/cukai dianggarkan RM997,632.19 disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut," katanya.
Jelas beliau, seorang lelaki tempatan berusia 40-an telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.