Pemandu kontena khayal tetap memandu lori dengan tayar pecah

Iklan
Anggota polis trafik memeriksa kenderaan di Plaza Tol Juru hala utara semasa melakukan Operasi Khas sempena HRA 2025 yang dijalankan JPJ Pulau Pinang bersama beberapa agensi pada malam Rabu. Foto Bernama
Anggota polis trafik memeriksa kenderaan di Plaza Tol Juru hala utara semasa melakukan Operasi Khas sempena HRA 2025 yang dijalankan JPJ Pulau Pinang bersama beberapa agensi pada malam Rabu. Foto Bernama
Anggota polis trafik memeriksa kenderaan di Plaza Tol Juru hala utara semasa melakukan Operasi Khas sempena HRA 2025 yang dijalankan JPJ Pulau Pinang bersama beberapa agensi pada malam Rabu. Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu kontena didapati bukan sahaja memandu di bawah pengaruh dadah, malah telah meneruskan perjalanan dengan sebiji tayar kenderaan itu yang pecah dari Taiping, Perak ke Perai, dekat sini, dipercayai ketika mahu mengambil barang dagangan.

Iklan
Iklan

Namun lelaki berusia 45 tahun itu ditahan dalam Operasi Khas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025, yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bersama beberapa agensi di Plaza Tol Juru hala utara, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, kontena itu, ditahan untuk pemeriksaan dan pemandunya dipercayai berada dalam keadaan khayal kerana ujian air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati beliau positif ganja, selain mendapati tayar celup kontena berkenaan mempunyai stiker kelulusan SIRIM yang meragukan.

Iklan

"Kemungkinan ia (tayar celup yang telah pecah) ciplak, malah saya rasa dia memandu pun dalam keadaan separuh sedar kerana di bawah pengaruh dadah, jadi mungkin sebab itu tidak sedar tayar tersebut telah rosak teruk serta pecah.

"Tindakan lelaki itu yang tetap memandu kontena tersebut walaupun tayar telah rosak dan pecah sangat berbahaya, bukan sahaja kepada kenderaan tersebut malah pengguna jalan raya yang lain kerana ia boleh mengakibatkan kegagalan brek dan sebagainya malah lebih teruk menyebabkan kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi.

Iklan

Operasi khas selama empat jam itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan AADK.

Zulkifly berkata, dalam operasi bermula 8.30 malam itu, pemandu kontena tersebut juga tidak memberikan sebarang alasan berkenaan tayar celup yang telah rosak serta pecah itu dan AADK telah menahannya untuk siasatan lanjut, manakala lori itu ditahan oleh untuk pemeriksaan oleh JPJ Pulau Pinang.

Beliau berkata, penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya juga mendapati ramai pengusaha lori masih menggunakan tayar celup tidak mengikut piawaian, bagi menggantikan tayar yang sudah botak dipercayai kerana lebih murah.

"Penguatkuasaan yang dijalankan apa yang kita dapati memang masih terdapat banyak lagi pengusaha lori yang menggunakan tayar-tayar celup tanpa kelulusan atau tidak mematuhi piawaian ditetapkan SIRIM, dan ia sebenarnya boleh menyebabkan kemalangan, jadi kami akan meneruskan operasi mengesan kenderaan gagal mematuhi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Zulkifly berkata, operasi HRA 2025 dijalankan bermula 28 Mac hingga 18 April dan objektifnya ialah memantau pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat dan kelancaran serta kecekapan operasi kenderaan perdagangan perkhidmatan awam, bagi meningkatkan keselamatan, kualiti dan keboleharapan perkhidmatan kepada pengguna.

Beliau berkata, bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan berjalan dengan lancar sepanjang operasi itu, seramai 210 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bertugas dan cuti kesemua petugas bahagian penguatkuasaan juga telah dibekukan sepanjang tempoh tersebut.

"Terdapat beberapa kaedah penguatkuasaan dalam operasi HRA kali ini antaranya pemeriksaan dan pemantauan serta audit pematuhan bas ekspress di Terminal Bas Sungai Nibong dan Terminal Bas Penang Central bagi memastikan keselamatan kenderaan tersebut dan JPJ juga menjalankan rondaan berkala di semua lebuh raya serta jalan raya di negeri ini,” katanya.

Selain itu, Zulkifly berkata, pihaknya juga meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di empat kawasan kerap berlaku kesesakan atau kemalangan di negeri itu, sepanjang operasi tersebut.

Beliau berkata, kawasan berkenaan ialah Jalan Butterworth-Sungai Dua-Sungai Petani, laluan Jalan Baru Perai-Bukit Mertajam-Seberang Jaya, laluan Jalan Permatang Tinggi-Jalan Simpang Ampat-Jalan Bandar Cassia-Jalan Butterworth Taiping dan laluan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu-Masjid Negeri-Jalan Sultan Azlan Shah-Bayan Baru.

"Pasukan penguat kuasa akan membuat rondaan di semua laluan tersebut bagi penguatkuasaan dan persepsi akan ditahan. Ini kerana dengan kehadiran pasukan penguat kuasa, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan sekali gus menjadikan jalan raya lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata, selain jumlah pasukan ronda mengikut syif di laluan tersebut ditingkatkan, pihaknya juga akan menggerakkan pasukan penguatkuasaan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal bagi mengekori dan merakam kesalahan lalu lintas selain membuat penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengesan pemandu yang gagal mematuhi peraturan.

"Kaedah itu bertujuan menimbulkan kesedaran kepada semua pemandu bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya. - Bernama