1,167 anggota APM Johor siap sedia hadapi gelombang kedua banjir

Iklan
Kamal (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil agensi terlibat dalam program Op Prihatin APM, pada Rabu. Kamal (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil agensi terlibat dalam program Op Prihatin APM, pada Rabu.
Kamal (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil agensi terlibat dalam program Op Prihatin APM, pada Rabu.

JOHOR BAHRU – Seramai 1,167 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir susulan peralihan monsun yang masih berisiko membawa hujan lebat.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata, walaupun Monsun Timur Laut berakhir pada 25 Mac lalu, keadaan cuaca tidak menentu dalam tempoh peralihan Monsun Barat Daya boleh menyebabkan hujan dan banjir kilat terutama di kawasan rendah.

Iklan
Iklan

"Kita tetap bersedia sepanjang tahun tidak kira musim monsun atau sebaliknya untuk memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Fokus utama APM adalah operasi menyelamat dan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin APM Peringkat Zon Selatan sempena Aidilfitri 2025 pada Rabu.

Kamal. Kamal.
Kamal.

Iklan

Mengulas lanjut, Kamal memaklumkan, anggota bakal ditempatkan di daerah berisiko tinggi bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana.

Mengulas kemungkinan mendapatkan bantuan luar, beliau berkata, APM Johor akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia menggerakkan anggota tambahan dari negeri jiran seperti Melaka serta Negeri Sembilan sekiranya diperlukan.

"Setakat ini, keadaan masih terkawal, tetapi jika situasi semakin buruk, kita akan mohon bantuan dari negeri berdekatan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

"Kita juga harapkan semua PPS yang masih dibuka dapat ditutup sebelum Aidilfitri bagi membolehkan mangsa pulang dan menyambut lebaran bersama keluarga tercinta.

Sementara itu, Kamal memaklumkan, pihaknya turut melaksanakan OP Prihatin APM bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena musim perayaan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu inisiatif bantuan jalan raya dijalankan serentak di seluruh negara bermula 28 Mac hingga 6 April depan.

"Sebanyak 300 anggota APM Johor ditempatkan di lokasi hotspot kemalangan dan kesesakan.

"Operasi ini menyediakan bantuan seperti menangani kerosakan kecil kenderaan, mengalihkan kenderaan rosak, membersihkan halangan di jalan serta mengawal trafik di lokasi kemalangan,” katanya.

Ujar beliau, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Operasi TIN menerusi laman web rasmi APM di www.civildefense.gov.my atau melalui media sosial rasmi APM di Facebook, Instagram dan TikTok.

Tambahnya, kod QR Info Prihatin APM turut dikongsi di platform tersebut bagi membolehkan pengguna mengetahui kaedah penyelamatan sebagai perawatan awal dalam kecemasan sekiranya diperlukan.