Penduduk di Pontian bimbang banjir berulang

Iklan
PPS SK Sinaran Tampok, Benut Pontian ditutup pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Zaleha, Faridah PPS SK Sinaran Tampok, Benut Pontian ditutup pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Zaleha, Faridah
PPS SK Sinaran Tampok, Benut Pontian ditutup pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Zaleha, Faridah

PONTIAN - Penduduk dari beberapa kampung di Benut yang baru sahaja dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) pada pagi Khamis, masih dibayangi kebimbangan banjir akan berulang dalam masa terdekat.

Ini kerana cuaca tidak menentu dan keadaan banjir 'termenung' yang masih belum surut sepenuhnya walaupun sudah hampir seminggu.

Iklan
Iklan

Penduduk Kampung Parit Hassan, Faridah Salada, 48 berkata, selepas empat hari berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinaran Tampok di sini, akhirnya dia bersama empat anaknya dapat kembali ke rumah.

Jelasnya, keutamaan sekarang adalah membersihkan rumah dan menggantikan barangan asas yang rosak berbanding persiapan hari raya.

Iklan

"Suasana Aidilfitri kali ini amat berbeza kerana baju raya yang dibeli sebelum ini rosak akibat banjir. Ramadan tahun ini juga kami sekeluarga melalui pengalaman berbuka dan bersahur di PPS.

"Saya harap banjir tidak berulang dalam masa terdekat kerana kebanyakan daripada penduduk masih lagi terkesan dengan banjir pada minggu lalu," katanya.

Iklan
Hasni (lima dari kanan) bersama penduduk Benut yang menerima sumbangan RM3,000 selepas terjejas akibat banjir minggu lalu.

Sementara itu, Zaleha Tani, 70, pula berkata, rumahnya di Kampung Sungai Besar mula ditenggelami air pada petang Ahad dan diminta segera berpindah ke PPS.

"Rumah dinaiki air paras 0.5 meter selepas rumah lebat pada petang Ahad. Kali ini banjir agak teruk kerana air lambat surut.

"Akhirnya selepas empat hari di PPS, kami dibenarkan pulang dan sekarang cuma fikirkan untuk bersihkan rumah bersama anak dan cucu. Mengenai persiapan Aidilfitri ia dilakukan sederhana sahaja," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, fenomena air banjir termenung yang berlaku di beberapa kawasan di Benut memerlukan penyelesaian jangka panjang menerusi projek tebatan banjir.

Jelas beliau, projek tebatan banjir diperlukan bagi mempercepatkan aliran air banjir terus ke sungai atau sistem saliran lain.

"Banjir termenung juga boleh dikaitkan dengan perubahan cuaca yang menyebabkan pemanasan global serta taburan hujan yang tinggi, seperti yang berlaku baru-baru ini.

"Dalam kes yang berlaku di Benut ini, cadangan pertama adalah dengan melaksanakan PTB, selain meningkatkan serta menambah baik infrastruktur sedia ada dan menggantikan peralatan yang usang,” katanya.

Sebelum itu, seramai 184 ketua isi rumah di DUN Benut menerima wang tunai RM3.000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM444,000 ribu yang disampaikan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn) di Benut.