PUTRAJAYA - Semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa, menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.
Konsulat itu melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pihak konsulat telah membuat lawatan konsular ke lapangan terbang antarabangsa Jeddah dan Madinah semalam dan hari ini berikutan arahan sekatan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi bermula Khamis lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Sekiranya terdapat sebarang permasalahan berhubung penerbangan pulang ke Malaysia, wakil ejen jemaah umrah atau penumpang diminta berhubung dengan pihak konsulat untuk bantuan dan panduan sewajarnya," kata konsulat itu.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.
Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.- Bernama
Artikel Berkaitan