Perplexity mahu ‘membina semula’ algoritma TikTok di AS

Iklan
TikTok -Foto AFP

SYARIKAT startup AI, Perplexity, sekali lagi mengemukakan cadangan berani untuk mengambil alih operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS), dengan janji untuk merombak sepenuhnya algoritma dan sistem pengurusan aplikasi tersebut.

Antara perubahan utama yang dijanjikan ialah membina semula algoritma cadangan TikTok dari awal, memperkenalkan nota komuniti, dan menjadikan sistem pemeringkatan kandungan sebagai sumber terbuka (open-source).

Iklan
Iklan

Ini bukan kali pertama Perplexity mencadangkan idea ini. Pada Januari 2025, syarikat AI tersebut mencadangkan penggabungan dengan operasi TikTok di AS, di mana kerajaan AS akan memiliki 50% kepentingan tetapi tidak akan campur tangan dalam operasi harian syarikat.

ByteDance, syarikat induk TikTok dari China, mempunyai tarikh akhir hingga 5 April 2025 untuk menjual operasi AS aplikasi tersebut. Dengan tempoh yang semakin suntuk, Perplexity sekali lagi mengemukakan alasan mengapa ia merupakan pilihan terbaik untuk pengambilalihan ini.

Iklan

Perplexity mendakwa ia berada dalam kedudukan terbaik untuk membina semula algoritma TikTok tanpa mencetuskan monopoli, dengan menggabungkan keupayaan teknologi bertaraf dunia dan kebebasan daripada syarikat gergasi teknologi (Little Tech independence).

Firma itu memberi amaran bahawa pengambilalihan oleh kumpulan pelabur, termasuk YouTuber terkenal MrBeast, boleh membolehkan ByteDance terus mengawal algoritma. Sebaliknya, pengambilalihan oleh syarikat teknologi besar berpotensi mencetuskan monopoli kandungan video berdurasi pendek.

Iklan

Dalam satu kenyataan berani, Perplexity mendakwa bahawa"seluruh masyarakat mendapat manfaat apabila suapan kandungan dibebaskan daripada manipulasi kerajaan asing dan monopoli global.”

Sebagai sebahagian daripada cadangan pengambilalihan, Perplexity berhasrat untuk memindahkan infrastruktur algoritma TikTok ke pusat data di AS, dengan kawalan pihak berkuasa AS. Algoritma cadangan untuk tab"For You” juga akan dijadikan sumber terbuka, bagi meningkatkan ketelusan kepada pengguna.

Selain itu, Perplexity ingin memperkenalkan nota komuniti, di mana pengguna boleh menambah konteks atau semakan fakta di bawah sesuatu hantaran. Ciri ini semakin popular di platform X (dahulunya Twitter), malah CEO Meta, Mark Zuckerberg, turut mengumumkan rancangan untuk memperkenalkannya di Facebook dan Instagram.

Menurut Perplexity, nota komuniti akan melengkapi ciri petikan (citations) yang digunakan dalam enjin carian syarikatnya, menjadikan TikTok sebagai"platform paling neutral dan dipercayai di dunia.”

Di sebalik cadangan besar ini, satu persoalan utama masih belum terjawab: bagaimana Perplexity akan membiayai pengambilalihan ini?

Firma itu sedang mencari pelaburan pada penilaian $18 bilion, tetapi operasi TikTok di AS dianggarkan bernilai sehingga $50 bilion—satu jurang besar yang menimbulkan keraguan terhadap kemampuan Perplexity untuk merealisasikan pembelian ini.

Berdasarkan undang-undang 2024, TikTok mempunyai tempoh sehingga 19 Januari 2025 untuk mendapatkan pembeli di AS atau berdepan larangan di negara itu. Bagaimanapun, bekas Presiden Donald Trump telah melanjutkan tarikh akhir kepada 5 April 2025 selepas kembali ke pejabat. Trump turut memberi bayangan bahawa beliau"mungkin” akan melanjutkan tempoh itu jika perlu.

Buat masa ini, masa depan operasi TikTok di AS masih belum jelas, sementara cadangan pengambilalihan Perplexity berdepan cabaran besar—baik dari segi kewangan mahupun politik.