JASIN - Anak sulung kepada mangsa kemalangan maut di Merlimau mendapat perhatian Kolej Komuniti Jasin (KKJS) apabila ditawarkan untuk menyambung pengajian di institut berkenaan.
Pengarahnya, Mohamad Kelana Juwit berkata, remaja itu, Tengku Aliff Daniel Tengku Syafarin, 19, sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Serkam membantu bapanya menyara mereka sekeluarga.
Menurutnya, menyedari ujian yang sedang ditanggung keluarga itu, pihaknya berbesar hati memberi peluang untuk anak sulung daripada empat beradik melanjutkan pengajian dalam mana-mana kursus yang disediakan di kolej berkenaan.
"Di kolej komuniti ini kami menyediakan empat program sijil iaitu Sijil Logistik, Sijil Seni Bina, Sijil Teknologi Maklumat, serta Sijil Multimedia Kreatif dan Pengiklanan.
"Kami menawarkan peluang pengajian kepada anak sulung Allahyarhamah Noor Faradhillah Muhammad Yusuff bagi memastikan beliau mendapat pendidikan dan kemahiran yang boleh membantunya membina masa depan yang lebih baik lebih-lebih lagi institut ini tidak jauh dari kediaman mereka," katanya ketika melakukan ziarah ke rumah keluarga mangsa di Jalan Datuk Nawar, Merlimau di sini, pada Khamis.


Sementara itu, Tengku Aliff Daniel berterima kasih dengan keprihatinan pihak KKJS terhadap apa yang menimpa keluarganya baru-baru ini.
"Insya-ALLAH saya bersedia mempertimbangkan tawaran tersebut dan akan memikirkan program yang sesuai untuk saya,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan mangsa maut selepas menghantar anaknya ke sekolah apabila motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Melaka- Muar, berhampiran Kolej Komuniti Jasin, Merlimau.
Kejadian yang berlaku jam 8.40 pagi menyebabkan mangsa Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, maut di lokasi kejadian.