KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.
Ahmad menerusi entri Facebook rasminya sebentar tadi berkata, beliau turut menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh tersebut.
"Semoga dengan kebijaksanaan kepimpinan tuanku akan terus memastikan urusan pentadbiran negara berjalan lancar ke arah Malaysia Sejahtera.
"Tahniah kepada Tan Sri Haji Muhyiddin Yasdin kerana telah dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan dan semoga dipandu oleh ALLAH SWT dalam menjalankan tugas,” katanya hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 4.29 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan esok.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong pilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri
Muhyiddin mohon semua pihak hormati keputusan Agong