RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, berikutan peniaga dan pelabur bimbang mengenai tarif yang akan dikenakan oleh kerajaan AS pada 2 April ini.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4300/4340 berbanding dolar AS daripada 4.4280/4315 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang negara ASEAN agak lemah berbanding dolar AS manakala yen Jepun susut 0.41 peratus kepada 150.53 bagi setiap dolar AS diikuti dolar Singapura yang turun 0.28 peratus kepada S$1.3399 bagi setiap dolar AS.
Beliau berkata, rupiah Indonesia pula menjadi mata wang berprestasi terbaik, meningkat 0.20 peratus kepada 16,562 bagi setiap dolar AS yang mungkin didorong operasi Bank Indonesia apabila mata wang itu mencecah paras terendah pada Isnin, paras yang pernah dicatatkan pada Jun 1998.
Mohd Afzanizam berkata, ringgit merupakan mata wang negara ASEAN kedua terbaik, meningkat 0.06 peratus kepada RM4.4335.
"Setakat ini, kebimbangan terdekat adalah terhadap sektor automotif memandangkan tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas negara pengeksport utama ke AS seperti Mexico, Jepun, Korea Selatan, Kanada dan Jerman,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang domestik naik berbanding euro kepada 4.7720/7763 daripada 4.7805/7842 ketika ditutup semalam, dan meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9351/9380 daripada 2.9498/9524.
Bagaimanapun ringgit susut berbanding pound British kepada 5.7236/7287 daripada 5.7161/7206.
Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang ASEAN.
Unit tempatan susut berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73 daripada 7.67/7.68 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0678/0854 daripada 13.0277/0453.
Ringgit kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 267.4/267.8 daripada 266.9/267.2 namun, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3060/3094 daripada 3.3104/3133.