ISU pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran telah mencetuskan polemik dalam masyarakat kita ketika ini.
Masalah ini sebenarnya sudah lama berlaku dan memerlukan satu penyelesaiaan yang konkrit agar isu ini tidak lagi berulang dan boleh menjejaskan keharmonian yang sudah lama dijunjung dalam negara kita.
Tanpa mengira agama dan bangsa, tindakan segelintir pihak mendirikan rumah ibadat secara haram khususnya di atas tanah milik persendirian tanpa kebenaran, bukan sahaja mencabar autoriti pihak berkuasa tempatan (PBT) malah menimbulkan ketegangan antara komuniti berbeza.
Situasi ini menimbulkan persoalan, bagaimana kesucian sesebuah rumah ibadat dapat dipertahankan jika pembinaannya sendiri melanggar undang-undang dan garis panduan ditetapkan?
Di samping itu, data spesifik mengenai jumlah rumah ibadat haram yang telah diambil tindakan oleh PBT dan pemilik tanah persendirian sejak 10 tahun lalu sukar diperoleh.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil pernah menyarankan agar PBT dan badan-badan keagamaan duduk semeja untuk mengelakkan lambakan rumah ibadat haram serta meneliti semula prosedur operasi standard pembinaannya.
Hakikatnya PBT sebagai pihak berautoriti, mesti bertindak tegas terhadap mana-mana pembinaan rumah ibadat yang tidak sah, tanpa mengira agama atau kaum.
PBT juga perlu bertindak secara adil dan saksama, memastikan bahawa setiap rumah ibadat—tidak kira agama apa sekalipun—mesti dibina secara sah agar negara terus kekal harmoni dan bebas daripada konflik agama yang tidak diingini.
Semua pihak berkuasa juga perlu berganding bahu melakukan pemantauan di kawasan seliaan mereka supaya mana-mana binaan haram dapat dibanteras lebih awal.
Setiap penganut agama berhak untuk beribadat dengan aman, tetapi hak tersebut harus dilaksanakan dalam kerangka peraturan yang sama bagi semua pihak.
Oleh itu, kepatuhan terhadap undang-undang dalam pembinaan rumah ibadat adalah penting bagi memastikan keseimbangan dan keharmonian antara penganut pelbagai agama.
Jika setiap komuniti mempunyai rasa bertanggungjawab seiring dengan tuntutan agama, sudah pasti isu ini dapat diuruskan dengan baik setiap masa.