KEMENANGAN ke atas Nepal, bukan tiket buat skuad bola sepak negara untuk mendabik dada kerana masih banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan barisan kejurulatihan dan para pemain.
Legenda bola sepak negara, Reduan Abdullah mempunyai nada berbeza ketika ramai memuji prestasi skuad Harimau Malaya yang menang 2-0 ke atas The Gorkhalis dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Iskandar Puteri pada Selasa.
Beliau mendedahkan masih banyak kelemahan yang perlu segera diatasi oleh skuad bimbingan Peter Cklamovski terutamanya sebelum berdepan Vietnam di laman sendiri pada Jun depan.
Bekas pemain kebangsaan berusia 73 tahun itu berkata, antara kelemahan yang dikesan ialah melibatkan jentera serangan, bahagian tengah dan kemahiran individu.
"Banyak yang kita kena lihat seperti serangan tidak begitu tajam. Saya tengok bahagian tengah tidak lancar dan banyak bola yang dihantar tidak dapat di bahagian serangan.
"Pemain yang diletakkan (dipilih) saya rasa kena lihat semula supaya kita akan lebih mantap terutama ketika menentang Vietnam. Mereka pasukan yang baik dan berjaya di peringkat Asia, kita harap dapat beri saingan yang baik dengan Vietnam nanti.
"Kita belum boleh cepat puas hati sebab mengharapkan menang banyak gol, tetapi kita menang dua sahaja. Ia sesuatu yang positif, kita mula dengan langkah yang baik. Apa pun segala kelemahan perlu diatasi. Belum boleh bangga, perlu corak permainan yang lebih cantik lagi,” katanya.
Kedua-dua gol Malaysia dihasilkan menerusi sentuhan dua pemain warisan iaitu Hector Hevel dan Corbin Ong.
Menyentuh debut Hevel bersama skuad Harimau Malaya, Reduan melihat pemain tengah berdarah Belanda-Malaysia itu masih belum mencapai tahap tertinggi dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
"Biarpun dia kali pertama beraksi, tetapi kita nak lihat dia lagi baik pada perlawanan akan datang. Ada sedikit sebanyak saya tengok sebagai satu pasukan belum ada lagi, mungkin dia masih baru,” katanya.