SHANGHAI - Seorang wanita mengalami masalah kesihatan selepas tanpa sedar meminum air sisa buangan selama lima tahun akibat kesilapan pemasangan penapis air oleh seorang pekerja syarikat Xiaomi.
Wanita itu, dikenali dengan nama keluarga Liu, hanya menyedari masalah tersebut beberapa minggu lalu selepas membeli alat penguji kualiti air.
Keputusan ujian mendapati air yang keluar daripada penapisnya mempunyai kualiti lebih teruk berbanding air paip biasa.
Menurut alat penguji tersebut, bacaan jumlah pepejal terlarut (TDS) dalam air dari penapis itu adalah 600, lebih dua kali ganda berbanding air paip.
Keputusan ini sekali gus menimbulkan kebimbangan Liu tentang kualiti air yang diminumnya selama ini.
Setelah mengikuti cadangan pengguna internet, Liu memeriksa pemasangan paip di belakang penapis airnya dan mendapati paip telah disambung secara terbalik.
Kesilapan tersebut menyebabkan air yang telah ditapis dilepaskan ke dalam saliran, manakala air buangan yang sepatutnya dibuang sebaliknya disalurkan ke paip air utama yang digunakannya untuk minuman dan kegunaan harian.
Liu berkata, dia mengalami gangguan haid sejak enam bulan lalu dan pemeriksaan doktor sebulan yang lalu mengesahkan terdapat sedikit kerosakan pada hatinya.
"Saya takut air buangan itu mengandungi banyak bahan kimia yang mungkin memberi kesan buruk kepada kesihatan saya," katanya.
Bagaimanapun, Liu mengakui tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan secara langsung masalah kesihatannya dengan penggunaan air tersebut.
Seorang pekerja Xiaomi dikenali sebagai Zhang yang datang ke rumah Liu mengesahkan berlaku kesilapan pemasangan dan berkata syarikat bersetuju untuk menukar elemen penapis air tersebut.
Zhang turut memaklumkan bahawa pekerja yang melakukan pemasangan lima tahun lalu telah berhenti kerja dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.
Namun, Liu tidak menerima tawaran Xiaomi yang hanya mahu menukar elemen penapis air kerana baginya, kerosakan yang dialami bukan sekadar pada alat itu tetapi juga melibatkan kesihatannya.
"Penapis ini tidak pernah berfungsi dengan betul walau sehari pun. Saya sudah minum air buangan selama lima tahun. Bagaimana Xiaomi mahu menggantikan kerosakan kesihatan saya?” tegasnya. - Agensi