SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Dulu pernah rasa terbeban dengan nama Aidil Fitri yang dianggap pelik dan sering menjadi bahan jenaka, namun kini ia menjadi kebanggaan kerana keunikannya.
Pemilik nama Aidil Fitri Zainal Abidin, 42, berkata, nama itu diberikan oleh arwah ibunya, Mazni Abd Hamid bersempena tarikh kelahirannya yang jatuh pada 1 Syawal.
"Jika ikut asal berkaitan nama ini, arwah ayah (Zainal Abidin Abdullah Zaid) mahu letak Muhammad Fitri, nenek pula mahu nama Syawal tapi mak bertegas mahu letak nama Aidil Fitri sahaja.
"Disebabkan pengaruh ibu lebih kuat, yang bersusah payah melahirkan, maka kekallah nama saya Aidil Fitri sehingga sekarang," kongsinya kepada Sinar Harian.
Berkongsi lanjut, dia dilahirkan sekitar jam 5 petang selepas ibunya mula menunjukkan tanda-tanda sakit selepas solat Hari Raya sebelum dimasukkan ke wad bersalin jam 2 petang.
Katanya, mulanya membawa nama 'Aidil Fitri' itu dianggap berat susulan sering menjadi bahan jenaka sedari kecil selain anak-anak turut terkena tempias di sekolah kerana nama bapanya dianggap kelakar.
Ujarnya, dia pernah menyuarakan hasrat mengubah nama berkenaan, namun dibantah oleh ibunya.
"Biasalah kita masa kecil jadi tertekan apabila nama sering dipermainkan jadi saya minta kepada mak untuk tukar nama.
"Tapi mak tak setuju, katanya susah-susah berjuang mahukan nama itu sampai bergaduh, jadi terus saja kekal nama tersebut," katanya.
Katanya, jika dulu pernah tidak suka dengan nana sendiri namun ia dianggap istimewa kerana diberikan oleh ibu yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu dan ia menjadi memori terindah untuk dikenang sampai bila-bila.