'Langgar lampu merah sebab nak cepat balik beraya'

Iklan
Azrin (kiri) sedang beramah mesra bersama pemandu kenderaan ketika operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah selatan di sini pada Jumaat. Azrin (kiri) sedang beramah mesra bersama pemandu kenderaan ketika operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah selatan di sini pada Jumaat.
Azrin (kiri) sedang beramah mesra bersama pemandu kenderaan ketika operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah selatan di sini pada Jumaat.

DENGKIL - Melanggar lampu isyarat merah dikesan antara kesalahan paling tinggi sepanjang pelaksanaan operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sejak 24 Mac lalu.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikenal pasti dilakukan oleh pelbagai jenis pengguna terutamanya pemandu kereta dan juga penunggang motosikal.

Iklan
Iklan

Antara alasan yang kerap diberikan termasuk tergesa-gesa untuk pulang beraya, tidak sabar semasa menunggu giliran di simpang, dan ada juga yang mendakwa tidak menyedari lampu isyarat sudah bertukar merah.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pelanggaran lampu isyarat merah bukan hanya satu kesalahan undang-undang, tetapi turut menjadi antara punca utama kemalangan di jalan raya.

Iklan

"Sepanjang Ops Hari Raya yang berlangsung dari 24 Mac hingga hari ini, JPJ telah mengesan kesalahan paling tinggi iaitu melanggar lampu isyarat merah.

"Tindakan ini sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan ada segelintir pengguna jalan raya yang langsung tidak mempedulikan keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar ketika operasi yang diadakan di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah selatan di sini pada Jumaat.

Katanya, JPJ Selangor telah menjalankan pelbagai langkah pencegahan termasuk turun padang memberi kesedaran kepada pengguna.

"Kami jalankan hebahan secara aktif tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah serta larangan memotong di lorong kanan.

"Selain itu, kami turut menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi panas,” jelasnya.

Menurutnya, JPJ Selangor kini melaksanakan strategi penyamaran bagi memantau pematuhan sebenar pengguna jalan raya tanpa kehadiran anggota berseragam.

"Langkah penyamaran ini sangat berkesan kerana ia memberi kejutan kepada pengguna yang sebelum ini berani melanggar undang-undang ketika tiada penguat kuasa.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pengguna yang melakukan kesalahan berjadual termasuk melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu," katanya.

Ujarnya, Ops HRA tahun ini bukan sekadar operasi rutin tetapi menumpukan pelaksanaan Objektif Strategik Penguatkuasaan ketiga dan keempat iaitu memastikan kelancaran pengangkutan awam dan larangan pemanduan kenderaan barangan serta kesalahan berjadual.

Antara kenderaan yang diperiksa dalam operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah selatan di sini pada Jumaat.

"Operasi khas yang dijalankan bermula 24 Mac hingga 8 April turut melibatkan Kempen Keselamatan Jalan Raya bertemakan Pandu Selamat, Sampai Selamat dan menumpukan kepada tujuh kesalahan berjadual.

"Antaranya tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menghalang kenderaan lain untuk memotong, memotong barisan, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya.

Azrin berkata, fokus turut diberikan kepada kesalahan memandu secara berterusan di lorong kanan, penyalahgunaan lorong kecemasan dan penggunaan telefon bimbit yang kian menjadi tabiat berbahaya dalam kalangan pemandu.

"JPJ tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan jalan raya, terutamanya ketika musim perayaan yang menyaksikan pertambahan kenderaan setiap hari.

"Pengguna jalan raya diminta memastikan kenderaan dalam keadaan baik, mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan sentiasa patuhi undang-undang jalan raya," katanya.