KUALA LUMPUR - Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) keluar meninggalkan bangunan Yayasan Al Bukhary pada jam 10.20 malam selepas tamat mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH yang berlangsung lebih sejam.
Antara yang kelihatan adalah Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sementara itu Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kesemua ahli parlimen PH akan berkumpul di bangunan Yayasan Al Bukhary pada jam 9 pagi esok.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan pada jam 10.30 pagi di lstana Negara.
"Kita akan adakan secara aman, kita tak nak berlakunya rusuhan.
"Kita hanya nak beritahu bahawa angka yang diberikan itu tidak betul. Setakat malam ini kita ada 114 sokongan.
"Yang dah tandatangan 111, yang telah memberi akuan janji 114," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan Yayasan Al Bukhary selepas tamat mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH, malam tadi.
Ketika ditanya mengenai majlis istiadat angkat sumpah di Istana Negara, Salahudin berkata, PH tidak akan menghalang kelangsungan majlis tersebut.
"Itu tak apa, kita tidak akan halang," katanya.