SHAH ALAM - Pramugari Batik Air yang terkorban dalam kemalangan pada malam Khamis disifatkan sebagai seorang staf yang berdedikasi dan sangat komited dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, syarikat penerbangan itu bukan sahaja kehilangan Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, sebagai seorang kakitangan, bahkan terkesan pemergian seorang ahli keluarga besar mereka akibat daripada kemalangan itu.
"Arwah (Iklil Nuraudah) baru bekerja bersama kami sejak dua tahun lalu. Dia yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan begitu senang bekerja dengan pasukannya.
"Sebagai majikan, kami akan meneliti aspek bantuan yang selayaknya diterima keluarga arwah," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Chandran, keluarga besar Batik Air turut berdukacita dengan pemergian Iklil Nuraudah dan pihaknya akan memastikan pihak keluarga menerima sokongan selayaknya daripada syarikat itu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk treler di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan pada malam Khamis
Tayar depan treler pecah hingga menyebabkan ia gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri berkenaan.
Kemalangan pada jam 11.30 malam itu membabitkan empat kenderaan dengan dua daripadanya terbakar dan menyebabkan lapan mangsa lain cedera termasuk tiga parah.
Mangsa yang maut adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani,35; dan anak mereka, Mariam, 2, dari Kota Tinggi.
Dua lagi mangsa yang maut adalah Iklil Nuraudah yang memandu kereta Proton X50 bersama seorang penumpang hadapan kereta itu, Mohd Nur Afiji Asamat, 27, yang berasal dari Kudat, Sabah.