PRIHATIN dengan nasib gelandangan sekitar ibu negara, Yayasan MR D.I.Y. dengan kerjasama Food4u mengagihkan 600 pek makanan di dua lokasi tumpuan.
Program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang selaras dengan inisiatif perayaan 'Raya Penuh Makna' anjuran peruncit perkakas rumah terkemuka, MR D.I.Y. bagi tahun 2025 tujuan mengeratkan hubungan, berkongsi kegembiraan dan mencipta kenangan bermakna.
Wakil Food4u, Tony berkata, tumpuan utama inisiatif tersebut adalah untuk membantu komuniti gelandangan yang sering berhadapan dengan kekangan dalam mendapatkan makanan yang mencukupi dan berkhasiat setiap hari.
"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan MR D.I.Y. atas kerjasama yang terjalin dalam menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
"Kami berharap usaha ini bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi juga menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk tampil membantu komuniti yang kurang bernasib baik,"katanya dalam kenyataan media Yayasan MR D.I.Y. pada Jumaat.


Pengagihan pek makanan dijalankan pada Selasa, di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan diteruskan pada Khamis, di Jalan Sayur, Pudu.
Pek makanan yang disediakan dan diedarkan, merangkumi nasi beriani, biskut krim, roti dan air mineral.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut inisiatif sumbangan pek makanan berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua pihak yang bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan.
Tetapi, juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan berkongsi rezeki, memupuk nilai kemanusiaan serta menyemai rasa prihatin terhadap komuniti yang kurang bernasib baik, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
"Yayasan MR D.I.Y. turut mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak untuk berganding bahu membantu komuniti yang memerlukan, kerana dengan keprihatinan serta kerjasama, dapat membawa perubahan yang lebih besar serta menyeluruh.
"Selain sumbangan makanan kepada gelandangan, Yayasan MR D.I.Y. telah melaksanakan pelbagai program lain melalui inisiatif ‘Raya Penuh Makna’ ini, antaranya, program bersama anak-anak dari rumah kebajikan, aktiviti kesukarelawanan serta projek komuniti," katanya.