SHAH ALAM - Masyarakat disaran agar lebih cakna dan bersama-sama menyokong usaha pihak berkuasa dalam membanteras rasuah.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, tanpa kesedaran kolektif dan tindakan tegas, amalan rasuah akan terus menjadi ancaman kepada kemajuan negara.
Menurutnya, ini bukan hanya memberi kesan kepada sektor perkhidmatan awam tetapi juga menggugat kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Kegiatan rasuah ini mencerminkan sikap segelintir individu yang tidak mengutamakan kepentingan awam, sebaliknya lebih mementingkan kepentingan peribadi.
"Meskipun pelbagai langkah telah diambil untuk membanteras rasuah, termasuk pendakwaan kes berprofil tinggi, amalan ini masih berleluasa," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Pegawai Imigresen didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua tuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM600, dua tahun lalu.
Rohaizi Ismail, 51, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara satu bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal menjelaskan denda.
Tambah Hamdan Daniel, isu utama bukan sekadar nilai suapan yang diterima, tetapi lebih kepada kemerosotan integriti dalam kalangan penjawat awam.
"Oleh itu, pihak berkuasa diharap dapat memperketatkan kawalan serta memperkukuhkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan perkhidmatan kerajaan bebas daripada gejala ini," ujarnya.