KOTA TINGGI - Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa kesedihan mendalam kepada keluarga tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 58.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, lewat malam Khamis.
Kakak mangsa, Nur Hafiza Bani, 36, berkata, suasana raya kali ini tidak lagi sama tanpa kehadiran adiknya, Siti Khazira Bani, 35, bersama suami, Nasarudin Pardi, 36, dan anak bongsu mereka, Maryam Nusaibah Nasarudin, yang selama ini menceriakan keluarga.
"Dah tak ada apa yang sama macam dulu. Macam biasa sahaja, dan memang raya kali ini terasa kosong.


"Kalau tak, sebelum ini memang balik raya belah sini, lagipun keluarga adik ipar pun di kawasan Kota Tinggi juga," katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, petang Jumaat.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan Siti Khazira adalah pada minggu pertama Ramadan lalu.
Namun katanya, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau bersikap ganjil.
"Masa minggu pertama puasa hari itu, dia ada balik, nak sambut puasa katanya. Jadi memang ada jumpa lah.
"Macam biasa, dia pun tak tunjuk sebarang perubahan sikap atau sebagainya," katanya.
Sementara itu, Nur Hafiza berkata, pihak keluarga akan berbincang dengan keluarga adik iparnya dalam masa terdekat mengenai penjagaan tiga anak mangsa.
"Keluarga adik ipar juga tinggal di Kota Tinggi, jadi tiada masalah untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.