Dua suspek pecah rumah langgar polis sebelum ditahan

Iklan
Dua lelaki ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya pada petang Jumaat. Dua lelaki ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya pada petang Jumaat.
Dua lelaki ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya pada petang Jumaat.

SUBANG JAYA - Cubaan dua lelaki melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14 di sini berakhir dengan penahanan selepas mereka bertindak melanggar seorang anggota polis, memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, kedua-dua suspek warga tempatan akhirnya berjaya diberkas di jejambat Jalan SS14 selepas dikejar oleh pasukan polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu kes pecah rumah di kawasan tersebut.

"Sejurus maklumat diterima, hebahan dibuat kepada semua anggota bertugas sebelum pasukan rondaan cegah jenayah yang berada berhampiran bergegas ke lokasi.

Iklan

"Sebaik tiba, anggota mendapati dua suspek sedang keluar dari rumah mangsa dan menuju ke arah sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, suspek kemudian memandu kenderaan tersebut dan bertindak melanggar sebuah motosikal serta seorang anggota polis yang berada di lokasi.

Iklan

"Tindakan agresif itu memaksa anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek bagi menghentikan pergerakan mereka.

"Namun, suspek tetap melarikan diri dan terus memandu sehingga ke jejambat Jalan SS14 sebelum berjaya diberkas tidak lama kemudian,” katanya.

Wan Azlan berkata, kedua-dua suspek kini ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail di talian 019-2817820.