SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar dan negara jiran Thailand pada Jumaat.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan awal dari Bangkok juga mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang tercedera.
Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower juga telah ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.
"Buat masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan premis kedutaan sedia ada.
"Sekiranya berlaku kecemasan atau gegaran susulan yang kuat, rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan untuk berkumpul di Kompleks Kedutaan bersebelahan Sathorn Garden dan bukan di lokasi Kronos Sathorn Tower," katanya.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand untuk sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan dan mengambil semua langkah keselamatan yang perlu.
Dalam masa sama katanya, Malaysia, melalui kedutaannya di Yangon dan Bangkok sedang memantau dengan rapat situasi susulan gempa bumi kuat itu yang telah mengakibatkan kecederaan serta kemusnahan harta benda.
Gempa bumi pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar jam 1 tengah hari (waktu tempatan) dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.
Gempa kedua dengan magnitud magnitud 6.4 berlaku tidak lama selepas itu.
Gegaran susulan daripada kedua-dua gempa ini turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.