MELAKA - Seorang suri rumah parah akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri selepas bergaduh dengan suaminya di sini, pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian jam 8 pagi, suri rumah berusia 35 tahun itu dipercayai bertindak melompat dari balkoni rumah selepas bertengkar dengan suaminya yang berusia 33 tahun.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.55 pagi.
"Sewaktu kejadian, mangsa dan suaminya berada di rumah. Tiada saksi yang melihat insiden tersebut, namun seorang jiran di tingkat bawah memberitahu bahawa dia terdengar bunyi dentuman sebelum mendapati mangsa sudah terbaring di bawah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suami mangsa mengakui berlaku pertengkaran mulut sebelum isterinya bertindak melompat dari balkoni.
Katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital dan siasatan berhubung kejadian masih diteruskan, termasuk usaha mengesan saksi.