Homestay jadi rebutan perantau ketika Aidilfitri

Iklan
Homestay lebih besar dan berhalaman luas serta dilengkapi pelbagai kemudahan menjadi pilihan tetamu untuk dijadikan tempat berkumpul semua ahli keluarga sempena Aidilfitri. Gambar kecil: Noor Adzilah dan Ahmad Firdaus Homestay lebih besar dan berhalaman luas serta dilengkapi pelbagai kemudahan menjadi pilihan tetamu untuk dijadikan tempat berkumpul semua ahli keluarga sempena Aidilfitri. Gambar kecil: Noor Adzilah dan Ahmad Firdaus
Homestay lebih besar dan berhalaman luas serta dilengkapi pelbagai kemudahan menjadi pilihan tetamu untuk dijadikan tempat berkumpul semua ahli keluarga sempena Aidilfitri. Gambar kecil: Noor Adzilah dan Ahmad Firdaus

KUANTAN - Permintaan terhadap rumah tamu atau homestay melonjak menjelang cuti perayaan hari raya Aidilfitri setiap tahun.

Situasi sama berlaku tahun ini apabila rata-rata pengusaha di sekitar Kuantan mengakui rumah-rumah penginapan yang disediakan mereka sudah penuh malah ada yang ditempah awal sejak tiga bulan lalu.

Iklan
Iklan

Pengusaha, Noor Adzilah Abidin, 53, berkata, homestay kini menjadi satu keperluan dan pilihan bagi mereka yang merancang untuk pulang berhari raya terutama dalam kalangan perantau berkeluarga besar.

Menurutnya, homestay menawarkan penginapan lebih murah, selesa, dan ada privasi berbanding bersesak di rumah keluarga atau saudara-mara.

Iklan

"Setiap kali menjelang Aidilfitri, adalah rezeki kami apabila homestay penuh terutama dua hari sebelum dan dua hari selepas hari raya.

"Ada yang membuat tempahan awal sejak tiga bulan lalu dan ada sebelum Ramadan lagi. Mungkin mereka sudah tahu permintaan terhadap homestay tinggi pada musim perayaan,” katanya.

Iklan

Noor Adzilah yang menguruskan homestay sejak empat tahun lalu berkata, rata-rata tempahan dari perantau yang akan pulang berhari raya bersama keluarga di sini.

"Setakat ini untuk tarikh 30 Mac hingga 2 April sudah penuh ditempah, ada pelanggan tetap dan ada juga pelanggan baharu,” katanya.

Situasi sama dilalui Ahmad Firdaus Ahmad Fadzil, 37, yang kini mengusahakan tiga homestay di sekitar Indera Mahkota dan Sungai Karang di sini.

Menurutnya, rumah bertanah yang ada halaman dan banyak bilik mendapat permintaan lebih tinggi berbanding homestay jenis apartmen.

"Memang ia kini jadi satu keperluan bagi mereka yang ingin selesa dan elak bersesak di rumah keluarga.

"Malah ada yang memilih rumah tamu lebih besar dan berhalaman luas serta dilengkapi pelbagai kemudahan untuk dijadikan tempat berkumpul semua ahli keluarga,” katanya.

Bagi Roslina Ismail, 49, pula, semua penginapan homestay ditawarkannya juga sudah penuh pada cuti Aidilfitri kali ini.

Menurutnya, rata-rata tetamu dalam kalangan perantau yang pulang beraya di sini memilih menginap selama tiga hari dua malam dan ada sehingga empat hari tiga malam.

"Biasanya mereka memilih homestay yang sama kawasan atau dekat dengan rumah keluarga. Sejak lebih 10 tahun lalu, boleh dikatakan rumah-rumah tamu yang diusahakan sentiasa penuh ditempah menjelang Aidilfitri,” katanya.

Roslina berkata, hingga kini dia masih menerima panggilan telefon dan pesanan WhatsApp daripada perantau yang mencari penginapan di saat-saat akhir.