TEMERLOH - Prihatin nasib kucing jalanan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kelab Si Bulus Temerloh menubuhkan rumah perlindungan khas, Teratak Si Bulus pertama di daerah ini dan di negeri Pahang.
Rumah perlindungan yang terletak di Tasik Chatin bukan sekadar tempat berteduh, malah turut dilengkapi kemudahan asas seperti makanan, tempat tidur dan rawatan kesihatan bagi memastikan kucing-kucing ini mendapat penjagaan sewajarnya.
Pengerusi kelab, Suhaya Elly Rosli, 47, berkata, usaha ini tercetus hasil keprihatinan ahli kelab terhadap jumlah kucing jalanan yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar dan pasar.
"Kami sering terima aduan kucing sakit, kelaparan dan terbiar. Justeru, kami ambil inisiatif menubuhkan rumah perlindungan ini agar haiwan ini dapat hidup dengan lebih baik.


"Setakat ini kami telah menempatkan lebih 50 kucing dewasa dan anak yang dikutip di pasar Mentakab selain maklumat daripada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, Teratak Si Bulus yang mula beroperasi sejak 1 Januari lalu itu hasil kerjasama dan sokongan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mempunyai 15 ahli setakat ini.
"Saya menghargai komitmen sukarelawan yang datang bergilir-gilir mengikut jadual untuk membersihkan rumah dan memberikan makanan kepada kucing dua kali sehari.
"Setiap kucing akan diberi vaksin dan dirawat dan semuanya menggunakan kos sendiri,” jelasnya kira-kira RM1,000 sebulan diperlukan bagi kos makanan, pasir dan ubat.
Menurutnya, rumah perlindungan itu turut berfungsi sebagai pusat sementara bagi kucing yang menunggu untuk diambil sebagai haiwan angkat.
"Selain memberi perlindungan, kami juga galak orang ramai ambil kucing di sini sebagai haiwan peliharaan. Ini bagi memastikan mereka mendapat keluarga yang menyayangi dan menjaga mereka dengan baik.
"Usaha ini bukan sahaja membantu kucing jalanan tetapi juga mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebajikan haiwan.
"Saya berharap lebih ramai individu atau organisasi tampil membantu dan menyokong usaha ini kerana setiap haiwan juga berhak mendapat kasih sayang serta kehidupan yang baik,” tambahnya.
Beliau turut menyeru orang ramai terutama pencinta haiwan agar bersama-sama memberi sumbangan kewangan, makanan kucing atau tenaga sukarela.
Bagi sukarelawan seperti Saimah Mohamed, 73, rasa sayang terhadap kucing membuatkan dirinya tidak kisah untuk mencuci najis dan lain-lain selain dapat mengisi masa lapang.
"Malah pengalaman terlihat dua warga asing membawa guni dan menangkap kucing-kucing jalanan menyebabkan saya menyokong penuh usaha mewujudkan rumah perlindungan sebegini,” katanya yang memiliki lapan ekor kucing di rumah.
Bagi mereka yang ingin membantu atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai rumah perlindungan ini, boleh hubungi Suhaya di talian 013-9408400 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Muamalat (06020002675710) atas nama Kelab Generasi Prihatin Temerloh.