SHAH ALAM -"Sejak saya ambil Rafei Ahmad Fauzi, Rasyid, dan Abdul Rahman sebagai anak angkat 17 tahun lalu, saya memang berpuasa setiap kali Ramadan kerana mahu mendidik mereka supaya jangan ponteng puasa.”
Demikian perkongsian Michael Tong Wai Siong atau mesra dipanggil Uncle Mike yang tular tahun lalu disebabkan keikhlasannya menjaga tiga anak angkat Melayu dari zaman remaja sehingga menginjak alam dewasa.
Uncle Mike berkata, sebelum memutuskan untuk mengambil anak angkat, beliau cuba mendalami agama Islam terlebih dahulu terutamanya suruhan dan larangan ALLAH SWT daripada rakan-rakan berbangsa Melayu.
Meskipun berbeza pegangan, menurutnya, anak-anak tetap menjadi keutamaan dari segi penerapan ilmu agama memandangkan mereka dijaga sejak usia remaja dan secara hakikinya dilahirkan sebagai Muslim.


"Kalau nak pastikan mereka puasa, saya kena berpuasa juga. Cuma sebelum ambil anak angkat, saya memang dah berkawan dengan orang Melayu.
"Boleh dikatakan sayalah mak dan ayah mereka, jadi saya kena tunjuk teladan yang baik. Dah 17 tahun saya berpuasa tanpa ponteng, kalau saya boleh mengapa anak-anak tidak boleh pula?
"Mereka nak ponteng puasa tak boleh sebab saya yang bukan Islam pun puasa penuh 30 hari. Itulah antara didikan yang diterapkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya mengenai persiapan menjelang Syawal, penerima anugerah Maulidur Rasul 2024 itu memberitahu, anak-anak kebiasaannya akan mempersiapkan pakaian dan tema warna baju, ketupat berserta kuih-muih untuk dijamu keluarga atau tetamu.
Tambah Uncle Mike, sudah menjadi kelaziman buat dirinya untuk memasak juadah utama seperti rendang, kuah kacang dan kari ayam digemari anak-anak.
Jelas jejaka berketurunan Tionghua itu lagi, kuih raya khususnya tat nanas antara kudap-kudapan yang wajib dibeli setiap kali tiba hari raya.
"Kebiasaannya setiap kali Hari Raya Aidilfitri, anak-anak datang beraya di rumah saya. Kalau sambutan Tahun Baharu Cina, kami akan ke rumah mak saya pula.
"Kadang-kadang ajak keluarga saya datang berbuka puasa di rumah saya walaupun bukan Islam, tetapi mereka tetap nak tunggu sehingga azan Maghrib untuk berbuka bersama-sama meskipun makanan sudah terhidang atas meja.
"Mak dan adik saya pun sejak anak-anak kecil lagi memang ajar kalau tak azan belum boleh makan. Syukur penerimaan daripada keluarga saya sangat positif,” ujar Uncle Mike.
Dalam pada itu, jejaka bujang berusia 55 tahun tersebut tidak menyangka kehidupannya berubah selepas kisahnya tular walaupun mengambil anak angkat berbeza kaum sudah menjadi kebiasaan sejak berpuluh tahun lalu.
Malah katanya, kisah itu juga menarik perhatian produksi Astro Shaw untuk diangkat ke layar perak berjudul Abah Saya, Uncle Mike yang dijangka akan ditayangkan pada Ogos depan.
"Memang tak sangka sedangkan (ambil anak angkat) proses biasa sahaja sepertimana orang lain buat.
"Apa pun, saya berharap hasil filem arahan Ezrie Ghazali ini mampu membuka mata masyarakat tentang prinsip keharmonian dan toleransi serta bagaimana kita boleh hidup bersatu padu,” jelasnya.