BEIJING - Sebuah restoran barbeku di selatan China menjadi tular selepas menawarkan 50 cucuk sate buluh pedas pada harga hanya 10 yuan (RM6.60), menarik ramai pelanggan wanita.
Video makanan yang dimuat naik pada 21 Mac lalu meraih lebih 600,000 tanda suka, memaparkan seorang tukang masak dari wilayah Hunan memanggang sate buluh yang dihiasi daun bawang dan serbuk cili.
Menurut pencipta hidangan tersebut, dikenali sebagai Ma, idea sate buluh pedas ini bukan untuk dimakan, tetapi lebih kepada menikmati rasa rempah tanpa mengambil kalori berlebihan.
"Hidangan ini direka khas untuk wanita yang mahu menikmati snek lewat malam tanpa risau berat badan bertambah," katanya.
Sejak diperkenalkan, jualan sate buluh itu melonjak dengan lebih 100 hidangan terjual setiap hari dan peningkatan pelanggan sebanyak 30 peratus. Selepas ditolak kos, setiap hidangan memberi keuntungan sekitar hingga 5 yuan (RM3.30)
Seorang pelanggan wanita mengakui menikmati sate buluh ini ketika berdiet dan malah menambah perasa mustard untuk rasa lebih pedas.
Namun, sesetengah netizen meluahkan kebimbangan tentang kemungkinan lidi buluh itu digunakan semula.
Namun, Ma sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut dan memberi jaminan bahawa semua lidi adalah pakai buang.
Fenomena ini bukanlah satu-satunya trend makanan unik di China. Pada Jun 2023, seorang peniaga di Hunan memperkenalkan 'batu pedas' iaitu batu sungai kecil yang ditumis dengan cili, bawang putih dan rempah.
Di Jiangxi pula, peniaga menawarkan 'ais panggang' yang diperap dengan jintan, cili, dan serbuk lada, memberi pengalaman unik gabungan sejuk dan pedas kepada pelanggan. - Agensi