SHAH ALAM - Setiap tahun, ramai yang terpaksa menghadapi banjir dengan pelbagai langkah keselamatan untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Namun, bukan sahaja manusia dan harta benda perlu diselamatkan ketika banjir, malah haiwan yang juga menjadi mangsa bencana itu perlu diberikan perhatian.
Mempunyai empati dan kasih sayang terhadap haiwan, seorang pemuda Mohamad Nur Bahari, 37, berusaha keras menyelamatkan makhluk kecil yang turut terperangkap dalam bencana tersebut.
Menurut Mohamad, dalam situasi panik itu, 15 ekor kucing berjaya diselamatkan olehnya dan beberapa rakan yang tidak sanggup melihat kucing itu dihanyutkan arus.
"Ketika air naik, kucing-kucing peliharaan dan jalanan dilihat terbiar dan mencari tempat untuk berlindung.
"Malah, saya nampak beberapa ekor kucing terperangkap, ada yang basah kuyup dan menggigil. Tanpa berfikir panjang, saya terus ambil untuk dibawa ke tempat yang selamat.
"Kalau saya dan rakan-rakan tidak berbuat demikian mungkin kucing ini akan dihanyutkan. Itu pun ada yang sudah mati kerana tidak dapat bertahan ketika banjir,” katanya pada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular video TikTok memaparkan sekumpulan lelaki muda membawa papan yang di atasnya terdapat beberapa kucing di dalam sangkar.
Mereka dilihat seperti dalam operasi menyelamat kucing daripada air banjir yang semakin meningkat.
Mohamad yang juga mempunyai lapan ekor kucing memberitahu, buat pertama kali kawasan Kampung Seri Jaya Tampoi, Johor Bharu dilanda banjir menyebabkan penduduk tidak bersedia menghadapi situasi tersebut.
Jelas pencinta haiwan itu, namun berkat keprihatinan semua pihak, kucing-kucing yang terbiar ketika banjir berjaya diselamatkan dan mendapat perlindungan.
"Tragedi ini menjadi peringatan bahawa ketika bencana melanda, bukan hanya manusia perlu dibantu, tetapi juga haiwan yang turut terjejas.
"Bagaimanapun, saya agak terkilan memandang masih ada kucing terperangkap. Pada masa itu, sudah ada kawasan yang tidak dibenarkan masuk susulan air diparas bahaya.
"Jadi kami buat apa termampu, nampak kucing yang masih hidup kami ambil, kumpul dan letakkan di selamat," jelasnya.