KULAI – Seorang remaja maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer (KM) 40.9 Lebuhraya Utara- Selatan, arah utara di sini, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan pada jam 3.30 petang yang melibatkan sebuah motosikal jenis Y15ZR dengan sebuah bas jenis Man.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa yang berusia 19 tahun di lorong kiri hilang kawalan hingga terbabas ke lorong kanan.
"Kejadian itu berlaku di hadapan bas yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dan membuatkan pemandu bas berkenaan gagal untuk mengelak lalu bertembung dengan penunggang motosikal terbabit.
"Akibat perlanggaran berkenaan, penunggang motosikal terbabit maut di tempat kejadian dan pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.