KLANG - Kerajaan memberi jaminan bahawa barangan keperluan asas di seluruh negara mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, terdapat beberapa lokaliti yang menghadapi kekurangan bekalan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
"Barangan mencukupi, tinggal esok dan hari ini sahaja orang nak beli. Kelompang (kekurangan bekalan) satu dua itu ada dan FAMA akan bertindak segera bagi lokaliti yang menghadapi masalah.
"Tetapi, tahun ini tidak banyak aduan dan amat kurang. Semua (barangan) sampai kepada pengguna," katanya ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dan Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
Program Semarak Syawal telah berlangsung di 262 lokasi seluruh negara bermula 22 Mac hingga 30 Mac dengan sasaran nilai jualan mencecah RM20 juta.
Selain itu, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul Madani Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.
Mengulas lanjut, menurut Mohamad, harga barangan keperluan juga tidak meningkat dan berada pada paras rendah serta terkawal menjelang perayaan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan tersebut berikutan kemungkinan kejadian luar jangka yang menyebabkan gangguan rantaian bekalan makanan sehingga berlaku peningkatan harga.
"Seperti yang disebut Perdana Menteri, sejak beliau menyertai kerajaan pada 1982, ini kali pertama harga barangan menjelang raya tidak naik, bahkan turun.
"Ini bukan hanya kementerian tetapi sebenarnya kerjasama orang ramai, pengusaha dan penternak yang memberi sokongan kepada usaha yang dibuat menyebabkan harga barang berada pada paras agak rendah.
"Tetapi kita tidak boleh berasa selesa kerana makanan ini bukan terjamin hari ini, tahun depan atau masa akan datang kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti," ujarnya.