JOHOR BAHRU - Seorang lelaki patah tulang rusuk apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish dipandu dirempuh MPV jenis Nissan Serena dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di kilometer (KM) 8, Jalan Johor Bahru – Air Hitam (arah Skudai) di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 1.59 tengah hari Jumaat.
Malah katanya, polis telah mengesan video kemalangan berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Ejan Gamk di JB TRACER yang memaparkan kemalangan berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari apabila Nissan Serena yang dipandu di lorong kanan oleh wanita warga tempatan berusia 41 tahun telah melanggar bahagian belakang sebuah MPV lain.
"Nissan Serena dari arah Johor Bahru menuju ke Skudai ini dipercayai tidak sempat membrek lalu melanggar bahagian belakang Toyota Wish dipandu lelaki warga tempatan berusia 55 tahun yang ketika itu sedang mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri jalan utama.
"Perlanggaran menyebabkan Toyota Wish terbabas ke hadapan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan jenis (SUV) BMW X 1 yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Balveer Singh berkata, Toyota Wish berkenaan kemudiannya terbabas ke lorong kiri dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu sebuah van, kereta jenis Honda CR-V dan kereta jenis Honda BRV 1.5L yang masing-masing dipandu oleh warga tempatan berusia antara 29 hingga 48 tahun.
Jelasnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu Toyota Wish mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan sedang dirawat di KPJ Puteri sementara pemandu Nissan Serena mengalami kesakitan di bahagian dada manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 serta boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan,” katanya.