'Tak apa tak ada baju raya, asalkan cukup makan'

Iklan
Siti Salwanie Siti Salwanie
Siti Salwanie

KOTA BHARU – Kesempitan hidup memaksa seorang suri rumah dari Dusun Muda di sini melupakan persiapan Hari Raya Aidilfitri sejak dua tahun lalu.

Bagi dirinya, membeli makanan dan keperluan asas untuk keluarga lebih penting berbanding baju baharu.

Iklan
Iklan

Siti Salwanie Su @ Zulkifli, 40, sebelum ini menjual pisang rebus dan mee kari di sebuah kedai kecil, namun selepas pandemik Covid-19, dia terpaksa menghentikan perniagaan kerana kehabisan modal.

Harga barang yang semakin meningkat juga menyukarkannya untuk kembali berniaga.

Iklan

"Kedai saya tutup lepas PKP sebab tak cukup modal dan sekarang barang mahal, jadi saya tak mampu nak mulakan semula.

"Kalau dulu ada juga duit lebih untuk beli baju raya, tapi sekarang nak beli lauk dan beras pun kena berkira-kira,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Dusun Muda, di sini.

Iklan
Siti Salwanie (kiri) menerima sumbangan Aidilfitri daripada Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (dua dari kanan) baru-baru ini. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, dia tinggal bersama ibu, Siti Ramlah Mat Zain, 75, (mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan) dan bapanya yang berusia 80 tahun serta menghidap penyakit darah tinggi dan strok.

Selain itu, dia juga perlu menjaga kakaknya, Siti Zuraidah, 46, yang turut tinggal bersama mereka yang berpenyakit darah tinggi.

Suami Siti Salwani, Mohd Sufian Mat Seman, 63, pula bekerja di kilang kayu di Kuala Krai dan mereka hanya bergantung kepada pemberian nafkah daripada warga emas itu.

Siti Salwani berkata, dalam keadaan hidup yang semakin mencabar, dia sendiri menghadapi masalah kesihatan apabila disahkan menghidap penyakit saraf.

"Pada mulanya saya hanya rasa sakit di bahagian tangan, tetapi lama-kelamaan ia merebak ke paha. Saya mendapatkan rawatan di Klinik Bandar Kota Bharu, tetapi dengan keadaan kewangan sekarang, sukar untuk saya mendapatkan rawatan yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, jika dahulu dia masih boleh membeli pakaian baharu untuk menyambut Syawal, kini perkara itu bukan lagi satu keutamaan.

"Saya tak kisah tak ada baju baharu, yang penting keluarga cukup makan. Raya tetap raya walaupun sederhana,” katanya.

Siti Salwani berharap ada pihak yang sudi membantu dan sumbangan boleh disalurkan ke akaunya Bank Simpanan Nasional 0301041000219967.