SEREMBAN - Seorang banduan berharap tidak lagi menjejakkan kali ke penjara selepas enam kali ditahan akibat kesalahan penyalahgunaan dadah.
Husin (bukan nama sebenar), 37, berkata, dia menjadi serik untuk mengulangi kesalahan sama selepas kali terakhir menerima hukuman lebih berat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah.
Hukuman itu memperuntukkan penjara lima tahun berserta satu sebatan dan kini berbaki setahun lagi sebelum dibebaskan.
"Harap ini yang terakhir saya keluar masuk penjara. Sebelum ini bila ditahan hanya dikenakan hukuman ringan tapi bila disabit bawah kesalahan berulang ini maka timbul keinsafan dalam diri untuk berubah.
"Apabila duduk terlalu lama dalam penjara buatkan saya nekad, kalau boleh nak berhenti tak mahu lagi ulangi kesilapan sama," katanya kepada Sinar Harian.
Dia ditemui pada Program Bersahur Yayasan Negeri Sembilan Bersama Orang Diselia (ODS) di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin di sini baru-baru ini.
Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, mula terjebak dengan najis dadah kerana pengaruh rakan-rakan yang ingin mengejar keseronokan ketika usia muda.
Bagaimanapun, niat sekadar untuk mencuba-cuba membawa padah selepas menjadi ketagihan dan tabiat itu sukar dibuang.
"Keluarga banyak nasihat untuk berubah tapi apabila selepas keluar dan bergaul semula dengan rakan-rakan bermasalah menyebabkan terjebak kembali dengan gejala itu.
"Saya rancang selepas keluar penjara tahun depan untuk berhijrah ke tempat lain, tak duduk di sana lagi jadi mungkin itu dapat membantu saya berubah sepenuhnya," ujarnya.
Katanya, dia juga mahu berubah kerana rindukan keluarga terutama neneknya yang tinggal bersendirian.
"Saya membesar dengan nenek sejak kecil, apabila ibu berkahwin lagi tinggallah saya berdua dengan nenek saja.
"Jadi apabila dekat nak hari raya, hati saya jadi sedih bila teringatkan nenek yang berseorangan. Selepas datuk meninggal dunia, tinggallah saya yang menjaga nenek," katanya.
Dia berharap, masyarakat tidak memandang serong atas kesalahan lampau sebalik turut sama menyokong bekas banduan untuk berubah dan menjalani kehidupan lebih baik.
Selain itu katanya, melalui peluang bekerja di penjara, diharapkan pengalaman itu dapat digunakan untuk meneruskan kehidupan selepas bebas kelak.