KUALA KRAI - Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai atau Masjid Ibnu Batutah yang sedang dalam pembinaan di Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai di sini bakal menjadi mercu tanda baharu daerah itu dengan reka bentuk bercirikan seni bina Timur Tengah.
Masjid yang terletak berhampiran Lebuhraya Kuala Krai - Gua Musang ini bukan sahaja menjadi pusat ibadah utama penduduk setempat malah turut dijangka menjadi lokasi persinggahan strategik bagi musafir yang menuju ke Kuala Lumpur atau Pantai Timur.
Pengerusi Masjid Ibnu Batutah, Dr Mohd Azmi Yaacob berkata, konsep seni bina masjid tersebut diinspirasikan daripada elemen klasik Asia Barat yang menggabungkan reka bentuk moden serta unsur tradisional Islam.
"Kami mahu menjadikan masjid ini bukan sekadar tempat solat, tetapi juga lambang keindahan seni bina Islam yang dapat menarik perhatian jemaah dan pelancong,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, proses pembinaan masjid berjalan lancar dan pada 26 Mac lalu pihak masjid telah membuat pembayaran sebanyak 15 peratus bagi perkembangan tapak projek.
Pihak masjid merayu sumbangan infak dan wakaf daripada semua pihak.
"Selain fungsi utama sebagai pusat ibadah, kami juga menyediakan kemudahan untuk musafir termasuk wakaf rehat, gerai makanan serta tandas awam.
"Masjid Ibnu Batutah akan menjadi antara masjid yang menawarkan pengalaman lebih selesa kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Katanya, pembinaan masjid yang menelan kos RM11.7 juta itu masih memerlukan sumbangan orang ramai bagi memastikan projek dapat disiapkan seperti dirancang.
Orang ramai boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam Tetuan Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Ku bernombor 03072010139591 atau hubungi Wan Halim di talian 019-9076668.