Penggali kubur meninggal dunia ketika kebumi jenazah

Iklan
Halim meninggal dunia ketika kebumi jenazah. Halim meninggal dunia ketika kebumi jenazah.
Halim meninggal dunia ketika kebumi jenazah.

KOTA BHARU - Seorang penggali kubur meninggal dunia ketika berada dalam liang lahad bagi mengebumikan jenazah seorang bekas imam di Kampung Padang Kala, Melor di sini pada Jumaat.

Halim Mat Razi, 55, dipercayai rebah dan tidak sedarkan diri ketika proses pengebumian bekas Imam Tua Masjid Mukim Padang Kala, Zakaria Abdullah, 75, yang meninggal dunia pagi hari sama.

Iklan
Iklan

Anak sulungnya, Nurul Aina Natasya Halim, 24, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung.

"Saya dan suami dalam perjalanan ke Gombak, Selangor untuk mengambil ibu saudara sebelum pulang ke Kelantan.

Iklan

"Tiba-tiba saya dapat panggilan mengatakan ayah rebah dalam liang lahad ketika menyambut jenazah imam.

"Penduduk membawanya keluar dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Peringat sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Kala bersebelahan kubur imam tersebut pada jam 9.49 malam Jumaat.

Katanya, bapanya bekerja sebagai tukang rumah tetapi sering menggali kubur secara sambilan sejak 14 tahun lalu atas dasar fardu kifayah.

"Saya selalu nampak dia membaca surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib.

"Dia juga suka berzikir panjang dan kerap ke masjid dan walaupun sibuk dengan kerja, dia tetap luangkan masa untuk agama,” katanya.

Nurul Aina berkata, bapanya merupakan bapa tunggal yang membesarkan empat anak sejak kematian ibu mereka dua tahun lalu.

Menurutnya, dua daripada adiknya adalah orang kurang upaya yang mengalami masalah pembelajaran.