PASUKAN berbasikal wanita Kedah yang menyertai Kejohanan Jelajah Thailand 2025 di Bangkok, Thailand yang dijangka bermula Isnin depan, berada dalam keadaan selamat selepas ibu negara itu digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud, semalam.
Ketua Jurulatih, Noor Alfizar Othman berkata, seramai empat pelumba dan empat pegawai pengiring yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada 11.45 pagi Jumaat, telah dipindahkan ke kawasan yang lain kira-kira 400 kilometer (km) dari Bangkok.
"Kami bertolak semalam dan dijangka pulang ke tanah air pada 5 April depan selepas selesai kejohanan berkenaan. Kami tiba di hotel penginapan pada 12.50 tengah hari dan ketika itu semuanya baik-baik sahaja dan tiada apa yang berlaku, jadi kami semua masuk ke dalam bilik.
"Tetapi, tiba-tiba seorang atlet yang duduk di atas kerusi memaklumkan bahawa kerusinya bergoyang. Selepas itu, barulah saya rasa bangunan hotel itu seperti sedang bergerak ke kiri dan kanan dan apabila saya selak langsir tingkap, saya nampak tiang elektrik dan lampu isyarat di jalan turut bergoyang,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Beliau berkata, ketika itu mereka melihat orang ramai di luar lari bertempiaran dan dalam masa yang sama penyambut tetamu hotel berkenaan meminta kami semua untuk keluar daripada hotel dan pergi ke kawasan yang lebih selamat.
"Keadaan memang agak kelam kabut dan pada masa itu saya hanya suruh mereka semua ambil barangan yang penting dan lari turun keluar daripada hotel. Masa kejadian itu, kami hanya cuma mahu lari dan berada jauh dari Bangkok untuk selamatkan diri sahaja.
"Syukur, kami semua selamat dan kesemua waris dan keluarga atlet telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai keadaan mereka yang berada dalam keadaan selamat dan baik,” katanya.
Sementara itu, Noor Alfizar berkata, wakil pegawai dari Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia ada menghubunginya dan bertanyakan mengenai keadaan mereka di sana dan pegawai Persatuan Berbasikal Thailand, juga telah membantu mengeluarkan mereka dari Bangkok pagi tadi.
"Semalam, majoriti kami tidak dapat tidur kerana susah hati dan masih ada rasa gegaran cuma tidak seteruk kejadian pertama. Tambahan pula, kami dengar bunyi siren ambulans dan bomba sehingga awal pagi.
"Tetapi, syukur kerana semua atlet dapat kumpul kembali semangat mereka selepas melihat pelumba-pelumba daripada pasukan lain di sini. Mereka bersemangat untuk memulakan perlumbaan Isnin depan dan melihat kepada situasi itu, saya selaku ketua jurulatih pun berasa lega,” katanya.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) melaporkan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Myanmar pada 1.20 tengah hari dengan gegaran dirasai di Bangkok. - Bernama