66 ‘blackspot’ kemalangan di Kelantan

Iklan
Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada penunggang motosikal. Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada penunggang motosikal.
Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada penunggang motosikal.

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengenal pasti sebanyak 66 lokasi ‘blackspot’ di seluruh negeri yang sering berlaku kemalangan dan akan diberi tumpuan sepanjang Op Selamat Aidilfitri 2025.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kawasan itu melibatkan jalan utama yang sering digunakan pengguna jalan raya semasa musim perayaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara jalan yang kerap berlaku kemalangan ialah Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Jeli.

"Selain 66 lokasi blackspot, kita juga telah mengenal pasti 41 lokasi hotspot yang sering mengalami kesesakan teruk.

Iklan

"Hotspot ini termasuk tiga laluan utama masuk ke Kelantan iaitu di Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Santuni Petugas dan Anggota Trafik di Jalan Hamzah di sini, pada Sabtu.

Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menerima tabik hormat daripada anggota yang bertugas menjaga lalu lintas. Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menerima tabik hormat daripada anggota yang bertugas menjaga lalu lintas.
Mohd Yusoff (tiga dari kiri) menerima tabik hormat daripada anggota yang bertugas menjaga lalu lintas.

Mohd Yusoff berkata, dalam usaha memastikan kelancaran lalu lintas, pihaknya menubuhkan Skuad Khas Jamed dan Lancar di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah.

Iklan

"Sekiranya ada laporan berlakunya kesesakan, skuad ini akan turun terus ke lokasi bagi membuat pemerhatian dan tindakan segera,” jelasnya.

Beliau berkata, seramai 128 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah ditugaskan di negeri ini sepanjang Op Selamat 24 Aidilfitri.

"Kami juga melaksanakan penggiliran tugas selama 24 jam di 103 lokasi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dan berhati-hati, terutama di kawasan yang sering mencatat kemalangan.

"Pematuhan terhadap peraturan jalan raya sangat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, terutama dalam suasana ramai yang pulang ke kampung,” katanya.

Tambahnya, operasi tahun ini juga memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama yang sering menjadi punca nahas, antaranya memandu melebihi had laju dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang cuai atau melanggar peraturan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan polis Kelantan memperketat kawalan di semua laluan sempadan negeri bagi membendung penyeludupan barangan terlarang pada musim perayaan Aidilfitri.

Mohd Yusoff berkata, pemantauan khusus dilakukan di pintu masuk utama seperti di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor yang merekodkan peningkatan mendadak pergerakan orang ramai.

"Pergerakan masuk dan keluar di pintu sempadan utama ICQS meningkat kepada 9,000 hingga 10,000 individu sehari, menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan kawalan bagi memastikan kelancaran pergerakan.

"Selainnya, pemantauan juga bagi mengekang kegiatan penyeludupan,” katanya.

Menurutnya, kawalan ketat ini juga bagi menangani penyeludupan mercun dan bunga api yang sering meningkat menjelang Aidilfitri.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyeludup mercun secara haram atau menyalahgunakan laluan sempadan,” katanya.

Sehingga kini, 23 kes kecederaan mercun direkodkan di Kelantan, membabitkan pelbagai jenis bahan letupan terutama yang diubah suai.

Tambahnya, tindakan tegas termasuk rampasan mercun dan pendakwaan akan dikenakan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengubah suai mercun kerana boleh mengundang bahaya dan menyebabkan kecederaan serius kepada diri sendiri,” jelasnya.

Kata beliau, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memperketat kawalan di kawasan sempadan yang sering digunakan sindiket penyeludupan.

Beliau berkata, operasi membabitkan kerjasama pelbagai agensi seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Anggota kita bersiap sedia di pos kawalan sepanjang 24 jam bagi memastikan tiada aktiviti penyeludupan berlaku, termasuk di kawasan ICQS yang menjadi pintu utama pergerakan keluar masuk sempadan,” katanya.