SHAH ALAM – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan susulan peningkatan jumlah kenderaan pada malam Sabtu.
Tinjauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada jam 8.40 malam mendapati aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) mula sesak.
Di KLK, trafik bergerak perlahan berikutan pertambahan kenderaan, manakala di LPT2, kesesakan dikesan di Kilometer 433.39 arah Kuala Terengganu serta di kawasan Karak menghala ke barat.


Bagaimanapun, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dilaporkan masih lancar meskipun terdapat peningkatan kenderaan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan, selain mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi LLM atau menghubungi talian hotline Info Trafik di 1-800-88-7752.